UEM Edgenta kecewa tukang cuci Hospital Bahagia piket, tuntut gaji naik RM30
UEM Edgenta Bhd, yang memperoleh kontrak bagi menyediakan perkhidmatan kerja-kerja pembersihan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak hari ini menyatakan rasa kecewa berhubung dakwaan layanan tidak adil terhadap pekerjanya.
Syarikat itu berkata pihaknya sering berhubung dengan pekerja dan kesatuan pekerja bagi menambah baik suasana kerja dan kebajikan mereka.
Ini susulan piket yang diadakan di luar hospital berkenaan petang ini di mana 40 tukang cuci hospital menuntut kenaikan gaji sebanyak RM30 dan faedah lain.
“Sehingga kini, syarikat telah berhubung dengan kesatuan dan sekutunya secara profesional dan tertib.
“Sejajar dengan amalan industri dan sebagai majikan yang adil dan saksama, setiap keputusan mengenai gaji dan imbuhan atau insentif termasuk bonus, kenaikan gaji, atau ganjaran lain adalah berdasarkan prestasi, merit dan keperluan perniagaan, yang mematuhi amalan undang-undang buruh Malaysia di semua operasi UEM Edgenta.
“Oleh itu, kami ingin meyakinkan orang ramai bahawa kami akan terus memastikan tidak ada gangguan perkhidmatan di semua hospital di bawah jagaan syarikat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, UEM Edgenta anak syarikat GLC UEM Group dimiliki sepenuhnya oleh syarikat subsidiari Khazanah Nasional Berhad sejak 2001.
Terdahulu hari ini, Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan menganjurkan piket di luar hospital psikiatri itu yang berlangsung kira-kira 20 minit.
Antara lain, mereka menuntut agar semua pekerja diberi kenaikan gaji sebanyak RM30 sejak Julai lalu, dan bukan hanya beberapa pekerja terpilih yang lulus penilaian syarikat.
Kumpulan itu mendakwa gaji baru adalah berjumlah RM1,230 sebulan, tetapi 90 peratus pembersihan kontrak tidak mendapat kenaikan tersebut.
Pekerja juga menuntut cuti umum dan elaun perubatan mereka sebelum ini yang didakwa dikurangkan dari 15 hari kepada 11 hari dan dari RM1,000 kepada RM200.
Sumber: Malaysiakini