“Tutup aurat dulu” – Diana Danielle kesal bila ada yang pelik wanita tidak bertudung solat

“Tutup aurat dulu” – Diana Danielle kesal bila ada yang pelik wanita tidak bertudung solat

 

“Tutup aurat dulu” – Diana Danielle kesal bila ada yang pelik wanita tidak bertudung solat.

Hanya kerana tidak bertudung, pelakon Diana Danielle kesal apabila perkongsiannya berhubung usaha mendekatkan diri dengan Allah mengundang reaksi negatif segelintir pihak.

Bertegas solat adalah sumber kekuatannya selama ini, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata sewajarnya seseorang itu jangan memandang rendah usaha insan lain yang berjuang mengubah diri menjadi lebih baik.

“Sejak saya berkongsi bahawa solat adalah sumber kekuatan saya, reaksi pertama sering kali yang datang adalah tutup aurat dulu.

“Adakah jika saya belum sempurna, saya tak layak untuk solat? Jangan kaitkan kesempurnaan dengan amalan. Setiap orang sedang bergelut dengan diri sendiri dan berjuang melawan nafsu masing-masing.

“Yang penting, kita semua sedang berusaha ke arah kebaikan. Elak rendahkan sesiapa yang sedang cuba berubah,” katanya menerusi aplikasi Threads.

Menurut ibu kepada dua anak itu menunaikan solat adalah kewajiban, sekali gus bukan perkara ganjil bagi wanita yang masih belum berhijab seperti dirinya untuk bersembahyang.

Katanya sama ada amalan diterima atau sebaliknya, jangan berhenti untuk terus beramal.

“Kenapa perlu pelik bila orang tak bertudung bagi tahu mereka solat? Kan setiap orang ada ujian berbeza. Solat tanda kesedaran untuk berubah dan menjadi lebih baik.

“Berdosa atau tidak, lebih baik kita teruskan amalan rohani sebab mendekatkan diri dengan Allah tak pernah akan jadi perkara yang sia-sia,” ujarnya.

Sebelum ini, Diana memaklumkan dapat melalui proses penceraian dengan lebih tenang selepas meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati ketika bersolat.

Terdahulu, pelakon Imaginur itu mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian buat kali kedua selepas setahun kembali rujuk bersama suaminya, aktor Farid Kamil.

Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

Pasangan terbabit pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara dalam talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos tahun lalu.