“Tutup mulut, berambus” – Dituduh bercuti bersama pelakon kacak, Ameera Khan berang dengan netizen
Pempengaruh media sosial sensasi, Ameera Khan berang dituduh bercuti bersama pelakon kacak, Meerqeen di Bali, Indonesia.
Spekulasi itu timbul apabila dilihat berkongsi gambar berada di lokasi sama di Bali menyebabkan netizen mula mensyaki mereka bercuti bersama, apatah lagi, Ameera atau lebih dikenali Little Miss Khan dan Meerqeen pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta.
Tidak tahan tuduhan dilemparkan, Ameera tampil membuat penjelasan menerusi Instagram Story (IGs).
Katanya, dia ke pulau peranginan popular di Indonesia itu bersama sepupunya yang dikenali sebagai Aisha.
“Saya bersama Aisha, pengawal peribadi dan pemandu di Bali. Hanya kami berempat sahaja.
“Saya sudah ada teman lelaki dan kini berada di London. Saya tak perlu jelaskan, tetapi ada antara anda yang sudah sangat keterlaluan. Tolong tutup mulut dan pergi berambus,” tulisnya.
Ameera didakwa bercinta dengan Meerqeen selepas video keluar bersama ketika menyertai acara minggu fesyen di Paris tular sehingga menjadi perbualan hangat di TikTok.
Mereka sekali lagi mengundang perhatian ramai apabila dilihat saling berbalas komen dalam Instagram, namun menafikan dakwaan itu sebaliknya menjelaskan hubungan sekadar kawan.