Tun M pertikai pelantikan Shahidan Kassim, bidas menteri gagal dalam kabinet Ismail
Dr Mahathir Mohamad menuduh Ismail Sabri Yaakob melantik anggota Jemaah Menteri yang gagal di zaman Muhyiddin Yassin dan berkata perdana menteri baharu itu lebih berminat berpolitik daripada mengekang wabak Covid-19.
“Saya dapati bahawa tidak ada banyak perbezaan daripada Kabinet Muhyiddin. Orang yang sama dilantik walaupun mereka, masa dengan Muhyiddin tidak menunjukkan kejayaan, tetapi orang tak berjaya ini dilantik semula,” kata Mahathir.
Beliau turut mempertikaikan kemampuan individu seperti Shahidan Kassim sebagai menteri Wilayah Persekutuan baharu.
Apa semua itu…mereka boleh cakaplah, tetapi nak buat kerja,?” kata pengerusi Pejuang itu.
Sebilangan besar menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran Muhyiddin dikekalkan oleh Ismail, sungguhpun ada antaranya ditukarkan ke kementerian lain.
Shahidan dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu antara “muka baharu” yang ditampilkan dalam Jemaah Menteri Ismail yang berjumlah 69 menteri dan timbalan menteri.
Mahathir meluahkan rasa kecewa dan menyifatkan pentadbiran Ismail lebih berminat menyusun langkah politik, bukannya merancang strategi mengekang wabak Covid-19 yang masih di tahap bahaya.
“Saya dapati bahawa tak ada penekanan berkenaan macam mana nak kurangkan kes Covid-19. Kes bertambah tetapi…cakap pasal politik. Konon nak ada kerjasama dengan parti lawan (dan) macam-macam.
“Itu semua politik, berkenaan masalah rakyat menderita, mati begitu ramai, tak nampak satu tindakan diambil atau diberi perhatian. Jadi, saya kecewa dengan keadaan ini (kerana) tak ada perubahan daripada bawah Muhyiddin dulu. Sama sahaja,” kata Mahathir.
Kelmarin, Ismail mengadakan pertemuan bersejarah dengan pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) selaku blok pembangkang terbesar yang dilihat petanda keterbukaan beliau untuk menjalin kerjasama dengan gabungan itu.
Dalam kenyataan bersama, Ismail, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang bersetuju memperkasa Parlimen dan memastikan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan pemerintahan yang baik.
Sumber: FMT