Tular video warga Palestin mengamuk, buat kecoh di Wisma Transit

Tular video warga Palestin mengamuk, buat kecoh di Wisma Transit

 

Sejak semalam (3 Oktober), tular di media sosial beberapa video memaparkan kekecohan yang berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL).

Kejadian itu dikatakan berlaku pada sekitar jam 6.15 petang kelmarin (2 Oktober) melibatkan beberapa warga Palestin yang menginap di sana.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram pengacara dan pelakon Iesya Toh, kekecohan yang berlaku itu disebabkan ketidakpuasan hati beberapa rakyat Palestin.

Menerusi laporan tular yang dikongsi, perkara itu tercetus selepas pasukan keselamatan yang menjaga warga Palestin terbabit tidak membenarkan salah seorang wanita untuk menginap di luar.

Susulan itu, wanita terbabit yang tidak berpuas hati telah membuat kekecohan di hadapan Balai Pengawal WTKL bersama keluarga dan rakan-rakannya.

“Kejadian tersebut telah disedari dan telah diredakan oleh Pegawai Bertugas tersebut. Pegawai Bertugas juga meminta warga Palestin yang terlibat untuk beredar dari kawasan berkenaan,” tulis laporan itu.

Dalam laporan sama, kesemua warga Palestin yang berada di sana kemudiannya masuk semula ke lobi utama WTKL dan membuat kekecohan selain didakwa bertindak mengamuk dengan memecahkan pasu serta merosakkan hiasan yang ada di kawasan berkenaan.

Kejadian juga cuba diredakan oleh pegawai bertugas namun salah seorang daripada warga Palestin didakwa telah bertindak membaling selipar ke arah pegawai berkenaan selain Wakil Kedutaan Palestin juga turut hadir serta cuba menyuraikan kekecohan tetapi tidak berjaya.

“Pasukan akan sentiasa memantau pergerakan warga Palestin dan mengelakkan sebarang konfrantasi,” jelas laporan itu lagi.

Dakwa Iesya, wanita berkenaan sebenarnya seorang warga Palestin golongan T20, dia sebenarnya mahu menginap di luar dan bukan di WTKL.

Malah, Iesya mendakwa kumpulan warga Palestin ini juga enggan menjamah makanan yang disediakan, sebaliknya sanggup memesan makanan dari luar.