Tular video pengantin lelaki kena belasah lepas heret isteri naik pelamin hingga tersungkur

Tular video pengantin lelaki kena belasah lepas heret isteri naik pelamin hingga tersungkur

 

Hari perkahwinan seharusnya menjadi detik paling bahagia untuk setiap pasangan pengantin baru.

Pun begitu, terkadang majlis gembira sebegitu malah dirosakkan sendiri oleh sikap tidak manis para pengantin sendiri tak kiralah perempuan mahupun lelaki. Itulah kejadian yang berlaku dalam sebuah video tular ini.

Menerusi klip berdurasi 23 saat tersebut, sepasang pengantin dilihat sedang melangkah naik ke atas pelamin namun si suami mencengkam pergelangan tangan isterinya dengan cukup kuat.

Hinggakan, wanita bergaun putih itu tersungkur dan menghadapi kesukaran untuk berdiri semula.

Tanpa memikirkan air muka isteri, pengantin lelaki terus mengheretnya naik sebelum pergi duduk sendirian di kerusi pelamin dengan gerak tubuh seakan-akan tidak berpuas hati.

Beberapa orang wanita segera bangun untuk membantu pengantin perempuan, manakala seorang lelaki terus melayangkan buku lima tepat ke wajah pengantin lelaki.

Suasana di majlis berkenaan lantas bertukar kecoh dengan adegan pergelutan tegang antara pihak keluarga mempelai sampai ke kawasan meja tetamu.

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan kegusaran mereka terhadap keselamatan pengantin perempuan.

Di sudut lain, mereka turut menyokong tindakan pihak keluarga yang memberi ‘pengajaran’ kepada pengantin lelaki atas tindakan kasarnya terhadap isteri.