Tular rakaman CCTV wanita parah ditikam 8 kali perompak warga asing
Tular sebuah rakaman CCTV di media sosial awal pagi ini memaparkan seorang wanita dipercayai telah diserang dan disamun oleh perompak warga asing dekat sebuah francais minuman terkenal di Taman Sri Muda pada Isnin lalu.
Menurut rakaman tersebut, data CCTV di lokasi itu menunjukkan kejadian berlaku sekitar jam 11.25 pagi.
Ketika kejadian, kelihatan premis itu sunyi tanpa pelanggan dan mangsa pula berada di bahagian dapur.
Suspek yang disyaki warga asing pada awalnya dilihat berada di depan kaunter sebelum tiba-tiba pergi ke arah mangsa dan menyerangnya menggunakan senjata tajam yang dipercayai sebilah pisau.
Ketika pergelutan berlaku, suspek dilihat menikam mangsa bertubi-tubi apabila mangsa mengejarnya sebelum melarikan diri.
Menurut posting yang dikongsikan akaun X @mynewshub, mangsa telah ditikam sebanyak lapan kali dan mengalami kecederaan serius di bahagian perut.
Perompak juga difahamkan telah membawa lari RM4,000 dan ketika artikel ini ditulis masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung insiden tersebut.