Tular Axia pandu lawan arus hingga terhimpit dua lori, rupanya salah masuk lorong

Tular Axia pandu lawan arus hingga terhimpit dua lori, rupanya salah masuk lorong
Tindakan seorang pemandu Perodua Axia berwarna jingga yang memandu secara melawan arus dalam kesesakan jalan raya membawa padah apabila kenderaannya ‘dihimpit’ dua treler.
Menerusi dua video tular di media sosial berdurasi enam saat dan 18 saat, kejadian dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gelang Patah.
Dalam rakaman tersebut juga memaparkan pemandu kereta terbabit ‘menyelit’ di laluan motosikal iaitu di tengah antara kereta yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas.
Tidak lama kemudian, video lain memaparkan kereta terbabit yang tidak mempunyai nombor pendaftaran hadapan bersama pemandu di dalamnya tidak bergerak dan dihimpit antara dua treler.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan kejadian berlaku di Kilometer 4, Jalan Gelang Patah-Ulu Choh arah Kampung Ulu Pulai di sini, jam 9 pagi semalam.
Siasatan mendapati pemandu telah memandu secara melawan arus sejauh 500 meter kerana tersalah masuk lorong untuk ke stesen minyak berhampiran.
“Pemandu juga telah terlanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios sebelum terhimpit antara dua lori.
“Pemandu lelaki tempatan berumur 26 tahun telah tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini dua jam selepas kejadian.
“Kedua-dua pemandu lori diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.