Tukang rumah lakukan khalwat berulang dihukum sebat, polis tempatkan 40 anggota kawal keselamatan

Tukang rumah lakukan khalwat berulang dihukum sebat, polis tempatkan 40 anggota kawal keselamatan

 

Tukang rumah lakukan khalwat berulang dihukum sebat, polis tempatkan 40 anggota kawal keselamatan

Masjid  Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang) yang akan melaksanakan hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah susulan didapati bersalah berkhalwat akan diawasi oleh 40 orang anggota polis bagi mengawal keadaan dan memastikan proses berkenaan berjalan dengan lancar.

Memetik laporan dari Bernama, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor  memaklumkan yang pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan provokasi kepada petugas mahupun pesalah pada hari tersebut.

Dalam pada itu, beliau menyatakan hanya 70 orang sahaja dibenarkan masuk ke ruangan hukuman dijalankan dan menasihati orang ramai yang menunaikan solat Jumaat untuk segera beredar dari Masjid Ladang selepas selesai beribadah.

Perkara itu bertujuan untuk menggelakkan sebarang sebarang perkumpulan sekali gus boleh menganggu kelancaran proses hukuman itu dijalankan.

“Hanya 70 individu saja dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat dijalankan.

“Saya ingin menasihati orang ramai yang hadir di Masjid Ladang pada Jumaat ini supaya keluar dengan segera selepas selesai menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Azli juga menyatakan bahawa tiada sebarang rakaman dibenarkan dan pihak polis akan melakukan pemeriksaan agar tiada sebarang alat elektrik atau telekomunikasi di bawa ke ruangan hukuman.

Beliau turut meminta orang ramai supaya menghormati undang-undang kerana hukuman sudahpun diputuskan oleh mahkamah.

“Sebarang rakaman tidak dibenarkan. Pihak polis akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi di bawa masuk ke ruangan hukuman.

“Hukuman telah diputuskan. Saya mohon supaya semua pihak menghormati undang-undang dan tidak melakukan kekacauan,” katanya.

Sekadar info, hukuman tersebut akan dijalankan terhadap tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, yang akan menjadi individu pertama di Terengganu dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai.

Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lalu selepas lelaki berkenaan mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.