“Makan ramai-ramai tapi dia ‘tuju’ seorang je” – Tak puas hati kena tegur, wanita disihir rakan sekerja

“Makan ramai-ramai tapi dia ‘tuju’ seorang je” – Tak puas hati kena tegur, wanita disihir rakan sekerja

 

“Makan ramai-ramai tapi dia ‘tuju’ seorang je” – Tak puas hati kena tegur, wanita disihir rakan sekerja

Bukan mudah memuaskan hati semua orang terutama mereka yang bergelar rakan sejawat.

Teguran yang diberikan adakalanya disalah anggap sehingga akhirnya mencetuskan dendam dalam diri.

Menerusi hantaran di laman sosial, seorang wanita berkongsi pengalaman disihir rakan sekerja wanita yang tidak berpuas hati kerana sering ditegur.

Memulakan cerita, dia yang dikenali sebagai Yani berkata, perbuatan kurafat individu terbabit hanya diketahui selepas dirinya mengalami keguguran.

“Kisah ni berlaku semasa aku baru kahwin dan disahkan hamil, nak dijadikan cerita aku keguguran semasa berada di kampung di Melaka.

“Masa dalam wad, telefon aku dicuri dan aku rasa sedih sangat sebab tu salah satu hantaran perkahwinan. Jadi, mak mentua aku pun, pergi jumpa seseorang untuk ‘tengok-tengok’ di mana telefon tu berada.

“Tapi lain pula maklumat yang dia terima, ada orang cuba buat perkara tak baik pada aku,” katanya.

Mengimbau kembali kejadian yang berlaku beberapa tahun lalu, ujarnya, pada masa itu, dia bermimpi didatangi seorang perempuan berambut pendek.

“Semasa mentua aku pergi ‘tengok-tengok’ tu, aku berada di dalam wad dan malam tu, aku mimpi ada seorang perempuan berdiri di hujung katil aku, dia cakap ‘padan muka, lepas ni aku buat lagi’ sambil gelak-gelak.

“Aku terus terbangun dari tidur dan jam menunjukkan pukul 3 pagi, terus aku tak boleh tidur sampai Subuh,” tambahnya lagi.

Lebih mengejutkan apabila janin yang gugur tiba-tiba ‘keluar’ sendiri tanpa perlu melalui proses cuci rahim.

Malah doktor menyatakan bahawa ‘proses’ tersebut telah selesai sepenuhnya.

Usai mendapatkan rawatan, dia mendapat panggilan daripada mentua yang menyatakan ingin membawa dirinya berjumpa seseorang.

Pada masa sama, mentuanya memaklumkan bahawa telefon miliknya telah dibawa keluar jauh dari hospital.

“Hari yang sama juga, suami aku kena masuk kerja dan dia pulang ke rumah di Selangor.

“Masuk je bilik tidur, dia cakap rasa seram sejuk dan sepanjang tepi dinding bilik, penuh dengan rumput-rumput kering.

“Padahal tingkap bilik ditutup kemas dan lubang angin atas tingkap pun telah ditutup plastik sebab nak elakkan nyamuk masuk bilik,” luahnya yang turut kehairanan kerana rumah berada di aras 5.

Menurut Yani, disebabkan dalam keadaan kecemasan, suaminya enggan mempedulikan kejadian pelik tersebut dan terus membuat permohonan cuti untuk kembali ke hospital.

Sejurus proses keluar wad, dia terus dibawa berjumpa orang yang dimaksudkan ibu mentuanya.

“Semasa dalam perjalanan, aku jadi gelisah dan berdebar-debar… sampai je di rumah tu, aku tak mahu turun dan rasa takut sangat.

“Aku ajak suami balik sambil cakap tak mahu, tapi mentua dan suami aku pujuk sehinggalah aku masuk rumah orang tu sambil menangis.

“Orang tu kemudiannya tanya kenapa aku menangis dan nak balik, aku diam tapi aku ikut apa yang disuruh,” kongsinya lagi.

Selepas berlunjur, ibu jari kaki Yani dipicit-picit sehingga membuatkan dia berasa teramat sakit.

Susulan itu, dia memarahi perawat terbabit dan meminta urutan dihentikan.

Namun tiba-tiba, perawat berkenaan bertanyakan tentang mimpi berhubung wanita berambut pendek.

“Perawat siap perincikan rupa paras wanita yang aku nampak dalam mimpi, memang tepat sekali.

“Dia cakap yang perempuan tu tak suka aku, kemudian dia tanya pula tentang rumput kering dalam bilik pada suami aku.

“Dia suruh suami aku bersihkan bilik betul-betul sebab ada yang suami aku tak nampak, tujuan sihir tu sebab nak bagi aku dan suami bergaduh,” imbaunya lagi.

Menurut Yani, perawat minta semua daun-daun kering dibungkus dalam plastik dan dibuang ke dalam air mengalir.

Susulan itu, dia dan suami pulang ke rumah di Selangor sejurus selepas mendapatkan rawatan tradisional itu.

“Suami aku terus panjat nak tengok atas alang, dia cakap penuh mata pisau belit… yang berkarat sampailah yang berkilat.

“Masa ni aku tak boleh fikir siapa yang dengki, perawat pun tak maklumkan siapa orang tu dan tak mahu pulangkan semula ‘barang’ yang dihantar,” jelasnya lagi.

Cuba mencari individu yang ‘ditemui’ dalam mimpi, Yani kemudiannya menceritakan kisah dialami kepada rakannya.

“Berderau darah aku selepas kawan sebut satu nama, sebab ciri-ciri yang aku ceritakan memang sama dengannya.

“Kakak ni memang freehair dan rambut pendek, rambut depan pun tutup dahi… dia pun pernah cakap yang nenek dia bomoh.

“Disebabkan itu, aku terus jauhkan diri, lagipun dia tak puas hati sebab aku selalu tegur dia bab kerja dan banyak kali dia nak kenakan aku dengan buat aduan pada bos besar.

“Sebelum kahwin, aku gaduh besar dengan dia bab kerja dan tak bagi kad jemputan kahwin… tu pun mungkin jadi sebab dia marah sangat,” katanya.

Menurut Yani, sejak keguguran, dia sentiasa berhati-hati apabila ingin menikmati hidangan di pejabat berikutan sihir dihantar melalui makanan.

“Memang makan ramai-ramai, tapi dia ‘tujukan’ pada aku seorang je… lepas pada kejadian ni, aku memang mengelak apabila diajak makan.

“Terbayang-bayang gelak dia dalam mimpi aku tu,” tambahnya sambil menyatakan dia telah berhenti dari syarikat berkenaan.

Rakan sekerjanya juga dikhabarkan telah bercerai kerana suaminya mempunyai skandal dengan wanita lain.