“Tuhan baru uji ujian besar sekali, takkan nak mengeluh” – Ruhainies
“Tuhan beri ujian besar baru sekali…”
Pelakon Ruhainies dilihat tidak melatah setelah berdepan dengan segala kontroversi, sebaliknya reda dan berlapang dada menerima segala dugaan.
Pemilik nama Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, berkata, dia tidak akan sesekali mengeluh apabila berdepan dengan ujian daripada Allah S.W.T.
Menurutnya, dia harus bersyukur dan reda kerana telah diberikan limpahan rezeki seperti tawaran kerja, disayangi ramai, keluarga, kawan dan kesihatan yang baik selama ini.
“Tuhan beri ujian besar baru sekali, tak akan saya nak mengeluh. Saya terima dan reda serta bersyukur juga” katanya dalam InstaStory hari ini.
Dia berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada seorang individu yang memintanya berkongsi tip untuk kekal kuat.
Tambahnya, setiap ujian yang diberikan oleh-Nya kepada mana-mana individu sebenarnya mempunyai sebab tersendiri.
Dalam pada itu, Ruhainies turut berkongsi potongan hadis berkaitan kekuatan diri.
“Dia uji sebab Dia sayang. ‘Fa inna ma’al usri yusra, inna ma’al usri yusra’.
“Dalam hadis ini juga disebut dua kali bahawa dalam setiap kesulitan pasti akan ada kemudahan.
Saya percaya tiada yang sia-sia serta akan ada rezeki besar Allah sudah aturkan. Tiada ribut yang kekal selama-lamanya,” ujarnya.
Sejak minggu lalu, nama Ruhainies kembali menjadi bahan bualan ramai apabila muncul di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding bacaan pertuduhan tangkap khalwat dengan pelakon Aliff Aziz di sebuah kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.