Tragedi keropok racun tikus: Selepas abang, kini adik Muhammad Luth pula meninggal dunia

Tragedi keropok racun tikus: Selepas abang, kini adik Muhammad Luth pula meninggal dunia

 

Selepas abangnya meninggal dunia kelmarin akibat memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus, Muhammad Luth Syauqi, 2, pula menyusul apabila menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Perkara itu disahkan oleh ibunya, Nurain Hasnorizal, 25, selepas melawat mangsa di wad.

“Luth sudah meninggal dunia jam 1.24 tengah hari tadi… hilang sudah kesakitannya.

“Jenazahnya dijangka dikebumikan di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah, berhampiran pusara abangnya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang daripada dua beradik yang berada dalam keadaan kritikal selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Ahad lalu, meninggal dunia, kelmarin.

Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 pagi ketika menerima rawatan di HPP, manakala adiknya, Muhammad Luth masih dirawat di hospital sama ketika itu.

Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik lelaki itu kritikal selepas memakan makanan ringan berupa keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi.

Makanan ringan itu didakwa digantung pada pagar dawai dipasang oleh pemilik kebun, dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman. Difahamkan, lokasi kejadian itu terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

Nurain yang mendapati dua anaknya itu muntah dan menggelupur seperti diserang sawan kemudian membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Dua beradik itu kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang selepas keadaan mereka semakin kritikal.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi, dilaporkan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan, iaitu cuai membabitkan bahan beracun.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki direman enam hari hingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan kes itu.