CIA papar tiga syiling Malaysia di tugu peringatan perisikan

CIA papar tiga syiling Malaysia di tugu peringatan perisikan
Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) baru-baru ini memaparkan tiga keping syiling Malaysia sebagai sebahagian daripada sorotan artifak mingguan menerusi akaun rasmi X agensi itu.
Syiling itu terdiri daripada syiling 20 sen keluaran 2018, syiling 10 sen (2017) dan syiling 5 sen (2018).
Ia ditemui di kaki patung Nathan Hale yang terletak di luar Bangunan Ibu Pejabat Asal CIA di Langley, Virginia.
Setiap syiling berkenaan memaparkan ilustrasi kecil.
Syiling 20 sen mempunyai lukisan figura lidi, syiling 10 sen pula kelihatan seperti wanita atau kanak-kanak, manakala syiling 5 sen menampilkan kesan tapak kaki haiwan.
Bagaimanapun, agensi berkenaan tidak mendedahkan siapa yang meninggalkan syiling terbabit atau bila ia diletakkan di situ.
CIA menerusi kenyataan di laman web rasminya berkata, sebelum bertugas di luar negara pegawai CIA akan meninggalkan syiling di kaki patung berkenaan.
“Menurut legenda, perbuatan itu membawa tuah dan diyakini dapat memastikan Hale melindungi keselamatan pegawai berkenaan sepanjang misi mereka,” katanya.
Hale adalah pegawai perisikan pertama AS
Patung berkenaan didirikan bagi memperingati Hale yang digelar pegawai perisikan pertama negara itu, yang dihukum bunuh pada 1776 ketika berusia 21 tahun selepas ditangkap kerana mengintip pergerakan tentera British ketika Perang Revolusi Amerika.
Patung Hale digambarkan dengan tangan terikat, merenung jauh dengan penuh tekad.
Kebiasaannya, pegawai akan meninggalkan syiling suku dolar Amerika Syarikat (AS) yang memaparkan imej George Washington, namun ada juga yang memilih syiling lain yang membawa makna simbolik atau peribadi.
Ada yang meninggalkan 76 sen sebagai memperingati tahun 1776, manakala ada juga yang menggunakan syiling asing seperti syiling Malaysia yang dihiasi lukisan atau mesej tertentu.
Muzium CIA secara berkala akan mengumpul syiling yang ditinggalkan di kaki patung berkenaan.
Syiling berkenaan kemudian disumbangkan kepada Yayasan Memorial Pegawai CIA dan Third Option Foundation, yang membantu pegawai cedera serta keluarga pegawai yang terkorban ketika bertugas.