Tiga remaja mangsa banjir pecah masuk pejabat sekolah jadi PPS, wang tunai RM3.2k hilang
Tiga remaja mangsa banjir pecah masuk pejabat sekolah jadi PPS, wang tunai RM3.2k hilang
Tiga remaja berusia antara 14 dan 16 tahun ditahan selepas dipercayai memecah masuk pejabat sebuah sekolah kebangsaan yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di Jertih, dekat Besut, semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, berkata tiga remaja yang juga mangsa banjir dan berlindung di sekolah terbabit ditahan untuk siasatan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Mengulas lanjut, katanya kejadian disedari pengurusan sekolah ketika memasuki pejabat untuk bertugas sebelum mendapati wang tunai RM3,200 yang disimpan dalam peti hilang kira-kira jam 7.30 pagi.
“Tiga remaja yang juga mangsa banjir dan ditempatkan di PPS sekolah berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Khairi menyampaikan sumbangan berupa koyak makanan kepada 49 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu yang terjejas banjir.
Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, polis turut menerima satu kes kehilangan sebuah motosikal yang diletakkan di tepi jalan, semalam.
Katanya, kejadian dilaporkan berlaku apabila mangsa menyedari motosikal yang ditinggalkan ditepi jalan hilang dan membuat laporan polis.
“Setakat ini kita menerima dua laporan mengenai kes jenayah sepanjang musim bencana banjir yang bermula sejak dua minggu lalu,” katanya.
Ditanya mengenai balai polis ditenggelami banjir, Mohd Khairi selain Balai Polis Kuala Jengai di Dungun, tiga pondok polis turut terjejas banjir iaitu Polis Pasir Raja di Hulu Dungun, Pondok Polis Felda Tenang di Besut dan Pondok Polis Tepoh di Kuala Nerus.