Tiga Raja Perak yang wajib anak Perak kenal
Adalah amat mendukacitakan apabila anak jati kelahiran negeri Perak sendiri tidak tahu tentang kewujudan raja-raja bergelar yang ada di negeri Perak.
Hal ini sepatutnya menjadi pengetahuan asas buat semua anak kelahiran negeri Perak yang mana untuk kenal siapa gerangan raja yang ada di dalan negeri Perak.
Tidak seperti negeri lain yang ada di negara kita, sistem giliran kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan amat unik dan berbeza dengan negeri-negeri lain yang ada di Malaysia.
Ianya amat unik dan berlainan dari negeri-negeri lain yang ada di Malaysia yang mana menggunakan sistem turun temurun dari Raja pemerintah kepada puteranya.
Moh kita lihat kembali pada bendera yang selalu kita dapat lihat dikibarkan di dalam negeri Perak tidak lain tidak bukan, bendera negeri Perak. Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam. Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya.
Tidakkah anda tahu bahawa setiap warna berjalur yang ada di dalam bendera negeri Perak itu sebenarnya punyai maknanya yang tersendiri? Jika anda pembaca setia orangperak.com tidak tahu tentang halnya, moh baca penerangan ringkas yang ada di bawah:
- Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
- Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan.
- Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul Ridzuan.
Raja Pemerintah negeri Perak hari ini tidak lain tidak bukan adalah Sultan Nazrin (Sultan Perak ke 35). Baginda diputerakan pada 27 November 1956 di George Town, Pulau Pinang.
Baginda merupakan putera sulung buat Sultan Perak yang ke 34 iaitu Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah bersama Tuanku Siti Bainun binti Mohd Ali.
Raja Muda negeri Perak sekarang adalah Raja Muda Ja’afar ibni Almarhum Raja Muda Musa. Raja Ja’afar diputerakan pada 26 September 1941 di Hospital Taiping.
Baginda adalah merupakan putera kepada Raja Muda Perak sewaktu dilahirkan pada masa itu yang dijawat oleh Raja Dato’ Musa ibni Almarhum Sultan Abdulaziz dan Cik Puan Mariam binti Encik Abdullah.
Raja Di-Hilir negeri Perak pada hari ini adalah anakanda putera sulung kepada Almarhum Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33) yang bernama Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris.
Raja Iskandar Dzulkarnain dilahirkan pada 8 Februari 1955 di No 1, Race Course Road Ipoh (kini dikenali sebagai Istana Firuz Jalan Lumba Kuda Ipoh).
Diharapkan setelah anda baca artikel ini, anda akan lebih jelas tentang siapakah gerangan raja yang ada di dalam negeri Perak yang tercinta ini. – OP