Tiada unsur jenayah, polis dedah punca sebenar kematian pesilat SUKMA Terengganu

Tiada unsur jenayah, polis dedah punca sebenar kematian pesilat SUKMA Terengganu

 

Peminat sukan tempatan hari ini dikejutkan dengan berita pesilat SUKMA Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin yang maut selepas terkena tendangan pihak lawan ketika menyertai pertandingan di Seremban.

Dia disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) manakala pihak keluarga hanya diberitahu mengenai kejadian itu pada jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kematian pesilat itu tiada kaitan dengan unsur jenayah dan hasil bedah siasat menunjukkan mangsa maut akibat pendarahan otak.

Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

“Dia pendarahan dalam otaklah secara secara ringkasnya. Pasal apa masa dia berlawan itu mungkin kaki terkena dekat leher.

“Tiada unsur jenayah, tiada ini pertandingan tiada unsur jenayah, ini mungkin salah langkahlah semasa pertandingan,” katanya kepada Buletin TV3.

Polis juga akan memanggil beberapa saksi termasuk pihak penganjur dan pihak lawan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seremban menjelaskan, mangsa sudah tidak sedarkan diri selama 20 minit di lokasi dan diberikan rawatan diberikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

“Sebaik kami tiba, pasukan mengambil alih pesakit serta merta, terus mengaktifkan AED serta alat bantuan pernafasan BVM dan oksigen kepada pesakit itu.

“Selepas memberi satu renjatan melalui AED pesakit terus dibawa ke HTJ untuk rawatan susulan dan dalam masa yang sama CPR masih lagi diteruskan sehingga tiba di hospital,” katanya.

Allahyarham yang berusia 21 tahun adalah anak keempat dari lima beradik dan berada di Seremban untuk Pra SUKMA sejak Jumaat