Thailand gagalkan cubaan seludup 510 kg ‘ice’ dan 60,000 pil kuda ke Malaysia
Pihak berkuasa Thailand merampas 510 kilogram dadah jenis ‘ice’ atau kristal methamphetamine dan 60,000 biji pil kuda yang dipercayai untuk diseludup ke Malaysia.
Ketua Polis Pattani, Mej Jen Pol Pitchawut Sa-gnuansombutsiri berkata operasi bersama polis dan tentera turut menahan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 29 dan 62 tahun pada 6 Mac lepas.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, pihak berkuasa menahan sebuah lori di sempadan Pattani-Songkhla.
“Pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 510 kilogram dadah jenis ‘ice’ dan 60,000 biji pil kuda yang disembunyikan dalam kotak kecil teh dalam ruang muatan lori tersebut.
“Dianggarkan harga dadah akan mencecah 100 juta baht sekiranya ia berjaya diseludup masuk ke negara jiran,” katanya dalam satu sidang media di sini pada Rabu.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa turut menyita tiga kenderaan pacuan empat roda, tanah, akaun bank dan barangan kemas dianggarkan bernilai 11.6 juta baht. – AA