Akibat minyak bocor, pemilik Tesla terkejut kena caj hampir RM40,000

Akibat minyak bocor, pemilik Tesla terkejut kena caj hampir RM40,000

 

Akibat minyak bocor, pemilik Tesla terkejut kena caj hampir RM40,000

Insiden yang dialami oleh Joey Arrowood, pemilik Tesla Cybertruck di Michigan, Amerika Syarikat, mendedahkan sisi realiti yang jarang kita dengar iaitu bil yang tinggi akibat minyak bocor, lapor MotorBiscuit.

Selepas menikmati percutian dengan ahli keluarga, Joey terkejut apabila mendapati terdapat lopak minyak di bawah Cybertruck miliknya.

Sebagai pemilik trak elektrik, beliau jujur keliru kerana kenderaan seperti Cybertruck tidak memerlukan minyak untuk enjin seperti kereta biasa.

Joey kemudiannya membawa trak itu ke pusat servis Tesla di Clarkson, Michigan, untuk pemeriksaan lanjut.

Selepas disiasat, punca dikenal pasti, motor belakang Cybertruck bocor akibat kerosakan pada bahagian aluminium yang melindungi sistem pemacu.

Apa yang lebih mengejutkan ialah punca kerosakan ini adalah akibat batu kecil yang terperangkap di antara subframe belakang dan kotak gear.

Batu tersebut dilaporkan menembusi bahagian aluminium menyebabkan minyak yang berfungsi untuk melincirkan motor bocor.

Ramai orang tidak sedar bahawa walaupun kenderaan elektrik (EV) tidak memerlukan penukaran minyak biasa seperti enjin petrol, sistem motor elektrik Tesla masih memerlukan minyak sebagai pelincir untuk motor belakang dan komponen mekanikalnya.

Ini adalah bahagian penting dalam memastikan sistem berfungsi dengan lancar.

Bagaimanapun, seperti yang berlaku pada Joey, kerosakan ini  telah menyebabkan minyak bocor dan memerlukan unit pemacu belakang diganti sepenuhnya.

Apa yang mengejutkan Joey adalah melihat jumlah sebanyak USD7,660.55 (lebih kurang RM36,000) untuk membaiki keretanya.
Kerana kerosakan ini berpunca daripada faktor luaran seperti batu kecil, jadi ia tidak dilindungi di bawah jaminan Tesla.
Tesla menyatakan bahawa waranti tidak melindungi kerosakan akibat penggunaan di luar jalan biasa.

Difahamkan bahawa Tesla menawarkan perlindungan untuk bateri dan sistem pemacu, tetapi jika ia dipandu di luar jalan raya, atau di kawasan yang bukan jalan biasa, Tesla tidak akan melindungi kenderaan anda.

Sebarang penggunaan di luar had jaminan boleh mengakibatkan pemilik perlu menanggung kos pembaikan yang besar.