Tesla dinobat sebagai jenama kereta paling bahaya
Tesla dinobat sebagai jenama kereta paling bahaya
Dalam kajian terbaru mengenai keselamatan jalan raya oleh iSeeCars, sebuah laman web carian kereta yang berpangkalan di Amerika Syarikat, mendedahkan bahawa Tesla, jenama kenderaan elektrik (EV) terkenal yang sering dipromosikan dengan pelbagai ciri keselamatan canggih, telah dinobatkan sebagai jenama kereta paling bahaya di Amerika Syarikat.
Kajian ini menggunakan data kemalangan maut daripada Sistem Pelaporan Analisis Kemalangan Maut (FARS) oleh Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya Nasional AS (NHTSA).
Data ini melibatkan model kereta tahun 2018-2022 dengan kemalangan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya satu kematian penumpang.
Hasil kajian menunjukkan bahawa Tesla mencatatkan kadar kemalangan maut tertinggi berbanding jenama lain di Amerika Syarikat, dengan kadar 5.6 kemalangan maut bagi setiap bilion batu perjalanan.
Untuk perbandingan, purata kadar kemalangan maut bagi semua kereta di AS adalah 2.8.
Berada di tempat kedua adalah jenama Kia dengan kadar kemalangan maut 5.5, diikuti oleh Buick (4.8), Dodge (4.4), dan Hyundai (3.9).
Dalam senarai lain, dua model Tesla turut berada dalam senarai model kereta paling berbahaya di Amerika Syarikat.
Antaranya adalah Tesla Model Y yang berada di tempat keenam dalam senarai kereta paling banyak mengakibatkan kematian penumpang.
Kadar kemalangan maut adalah 10.6 kemalangan bagi setiap bilion batu perjalanan – 3.7 kali lebih tinggi daripada purata nasional.
Malah, ia juga dinobatkan sebagai SUV ketiga paling bahaya dengan kadar 10.6, iaitu 4.8 kali lebih tinggi daripada purata SUV di AS.
Satu lagi adalah Tesla Model S yang menduduki tempat ke-21 dalam senarai dengan kadar kemalangan maut 5.8, dua kali lebih tinggi daripada purata nasional.
Selain Tesla, beberapa jenama lain seperti Kia, Buick, Dodge, dan Hyundai turut mencatatkan kadar kemalangan maut yang tinggi.
Walaupun Tesla sering mempromosikan teknologi bantuan pemandu canggih seperti Autopilot, data ini menunjukkan bahawa teknologi tersebut mungkin tidak cukup untuk mengurangkan risiko kemalangan maut.
Beberapa faktor yang mungkin menyumbang termasuk, kecepatan tinggi yang mampu dicapai oleh kereta Tesla dan pengguna yang terlalu bergantung kepada sistem bantuan pemandu tanpa perhatian penuh.