Berjaya membeli kenderaan pertama hasil titik peluhnya, sang anak yang berniat baik itu membuat keputusan untuk menyerahkan kereta tersebut pada ibu bapanya.
Gembiranya bukan kepalang apabila dapat berbakti kepada orang tua, hati anak malah terguris saat ibunya seolah-oleh memperkecilkan hadiah Perodua Axia tersebut.
Tidak mahu mendedahkan identitinya, sang anak tampil membuat perkongsian di laman media sosial X dengan menghantarnya kepada pemilik akaun @twtsecretMY.
“Saya baharu sahaja membeli kereta pertama, Axia. Saya serahkan kepada ibu bapa untuk gunakan kenderaan tersebut. Minggu lepas, saya dan ibu ada berhubung.
“Kami berbual seperti biasa di dalam telefon. Kemudian topik perbualan itu bertukar ke arah kereta. Katanya, kawan ibu ada mempersoalkan kenapa kereta Axia itu dibeli.
“Macam-macam kawan ibu merungut. Nak bawa jalan jauh tak sedap. Dia (kawan ibu) cakap Axia hanya sesuai dijadikan kereta kedua atau additional car,” katanya.
Walaupun kata-kata itu keluar dari mulut orang lain, namun tindakan sang ibu yang memaklumkannya kepada anak seolah-olah bersetuju dengan pernyataan tersebut.
Masih terkesan meskipun sudah seminggu berlalu, pengadu tertanya-tanya sama ada seorang anak dibenarkan untuk ‘terasa hati’ dengan tindakan ibu sendiri.
“Dia (ibu) seolah-olah mengiyakan dan saya agak terasa. Saya terus tamatkan panggilan itu begitu sahaja. Takut terkeluar benda (perkataan) yang tak sepatutnya.
“Sudah seminggu berlalu tetapi masih teringat. Kalau seorang ibu boleh terasa dengan anak dia, salahkan jika anak juga terasa dengan ibu?” Soal pengadu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna tidak bersetuju dengan pendangan ‘mak cik bawang’ itu yang memandang rendah pada kualiti kereta Proton Axia.
Ramai juga pengguna yang berpendapat bahawa sang anak berhak terasa hati dengan ibu bapa malah perbuatan mereka dalam menyakiti zuriat sendiri juga dilarang agama.
“Siapa kata Axia tak boleh jalan jauh. Hari-hari saya nampak Axia di lebuh raya. Saya juga pakai kereta sama. Sudah habis bayar pun masih tiada kerosakan,” kata seorang pengguna.
“Ustaz kata ibu bapa patut merasa takut dan ambil berat kalau anak terasa. Ibu bapa pun boleh berdosa dengan anak-anak.” Kongsi pengguna lain yang memberi peringatan.