Terkini! Usul pembatalan Ordinan Darurat dibahas di Parlimen September
Suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia selaras dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, usul berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok, sekali gus diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan.
“Proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai lalu tidak dapat disempurnakan.
“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber: Utusan