“Sekurang-kurangnya saya ada teman bicara” – Erra Fazira
“Sekurang-kurangnya saya ada teman bicara” – Erra Fazira
‘Tiada apa-apa yang akan berlaku Februari nanti.’
Itu respons pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira saat ditanya tentang spekulasi yang sedang bertiup kencang mengenai hubungannya dengan usahawan yang dikenali sebagai Ezwan Zain.
“Saya difahamkan akan ada sesuatu yang bakal berlaku pada 7 Februari. Saya diasak dengan soalan tentang perkara itu oleh pelbagai pihak. Saya sendiri pun tak tahu apa yang berlaku pada 7 hari bulan. Saya ‘chill’ sahaja. Tiba-tiba kita dijentik dengan tarikh itu.
“Mungkin disebabkan sebelum ini saya pernah membuat ucapan hari lahir kepada si dia. Jadi orang mula berfikir bahawa sesuatu akan terjadi pada hari lahir saya pula,” katanya ketika ditemui.
Ditanya adakah kini dia lebih terbuka untuk berkongsi tentang keakrabannya dengan Ezwan, kata pelakon filem Pasrah itu, dia tidak mahu terlalu terbuka atau terlalu berahsia.
“Saya pun masih baru dalam fasa mengenali. Saya mahu mengekalkan cara saya iaitu tidak terlalu terbuka dan tidak juga mengongkong diri saya.
“Saya cuba buka pintu hati saya untuk mengenali seseorang. Tidaklah sampai tutup rapat. Tetapi saya pun tak sangka ucapan hari lahir yang saya buat dia (Ezwan) menjadi bualan ramai,” jelasnya.
Tambah bekas ratu cantik Malaysia World 1992 itu lagi, dia sendiri belum pernah berbincang apa-apa dengan anaknya iaitu Engku Aleesya mengenai perkara ini.
“Saya tak pernah cakap apa-apa dengan anak mengenai hal ini. Dengan keluarga pun tak ada. Kerana macam saya katakan, perkenalan saya dan Ezwan masih di peringkat awal. Berilah peluang untuk kami mengenali hati budi terlebih dahulu,” ujarnya.
Ramai mendoakan kebahagiaan Erra bersama Ezwan dan ingin melihat mereka melangkah ke fasa seterusnya, kata pelantun lagu Hanya Di Mata itu dia terharu dengan segala doa daripada peminat.
“Allahuakbar. Amin. Alhamdulillah. Saya mohon doa yang baik-baik daripada semua. Saya pun tak tahu hala tuju saya. Tetapi apa sahaja yang terbaik yang Allah aturkan, saya terima dengan reda.
“Pada usia saya yang sudah matang, adalah mustahil untuk saya menyembunyikan sesuatu yang baik.
“Sekurang-kurangnya saya ada teman bicara,” katanya mengakhiri perbualan.