Lelaki maut akibat dipatuk tedung selar ketika rakam video

Lelaki maut akibat dipatuk tedung selar ketika rakam video

 

Lelaki maut akibat dipatuk tedung selar ketika rakam video

Seorang lelaki ditemui maut di dalam bilik penginapan sebuah resort di daerah Chum Phae dipercayai akibat dipatuk ular tedung selar yang dibawanya sendiri untuk tujuan bermain dan merakam video ke media sosial.

Menurut polis Balai Chum Phae, pihaknya menerima laporan daripada pemilik resort berkenaan yang memaklumkan mengenai penemuan mayat seorang lelaki di sebuah bilik penginapan pada 2 Julai 2025 kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Hasil siasatan mendapati mangsa, lelaki berusia 28 tahun berasal dari wilayah Chiang Rai, ditemui tidak bernyawa di atas katil dalam keadaan lengkap berpakaian iaitu berbaju-T kelabu, berseluar jean hitam dan berkasut sukan berwarna hitam.

Pemeriksaan lanjut menemui kesan gigitan dipercayai akibat patukan ular berbisa pada bahagian atas lengan kanan mangsa.

Turut dijumpai di dalam bilik tersebut ialah seekor ular tedung selar yang ditempatkan di dalam beg kain putih dengan mulut beg diikat kemas dan diletakkan berhampiran pintu masuk bilik.

Tiada sebarang kesan pergelutan ditemukan dan pintu bilik dilaporkan dikunci dari dalam dengan lampu bilik masih terpasang.

Pihak polis turut memeriksa telefon bimbit milik mangsa dan menemui rakaman video yang menunjukkan mangsa memegang serta bermain dengan ular tedung selar tersebut.

Rakaman berkenaan dipercayai telah dimuat naik ke media sosial sebelum kejadian berlaku.

Pemeriksaan forensik dan bedah siasat dijalankan oleh pasukan penyiasat bersama doktor dari Hospital Chum Phae bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Penjaga resort dalam keterangannya memaklumkan bahawa mangsa telah mendaftar masuk ke bilik sebelum ditemui maut.

Mangsa dipercayai membawa sendiri ular tersebut untuk merakam video, namun tidak sempat mengawal keadaan sebelum dipatuk hingga maut.

Siasatan lanjut masih dijalankan.