Tiga peserta team building JKR lemas, dihanyutkan kepala air ketika aktiviti ‘water rafting’
Tiga peserta team building JKR lemas, dihanyutkan kepala air ketika aktiviti ‘water rafting’.
Tiga peserta team building JKR lemas apabila dihanyutkan sejauh 4 kilometer ketika menyertai aktiviti water rafting di Sungai Kampar, Gopeng, Perak.
Menerusi laporan dari Sinar Harian, ketiga-tiga mereka meninggal dunia akibat lemas susulan dihanyutkan kepala air ketika mengikuti rakit arus deras di Sungai Kampar pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon memaklumkan pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang dan menggerakkan sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng diatur gerak ke lokasi kejadian.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dengan seorang daripada mereka adalah wanita telah dinaikan ke tebing sungai oleh orang awam.
“Dua mangsa berjaya dinaikkan di tebing berhampiran Kampung Pintu Padang namun, mangsa lelaki disahkan meninggal oleh pasukan kesihatan manakala seorang wanita masih tidak sedarkan diri.
“Anggota kemudian memberi bantuan CPR (Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari) dibantu pegawai kesihatan terhadap mangsa wanita sebelum disahkan meninggal dunia.
“Mangsa ketiga berjaya dinaikkan kira-kira 400 meter dari lokasi pertama turut disahkan meninggal oleh pasukan perubatan,” ujarnya.
Menerusi perkongsian daripada Facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), mangsa yang disahkan meninggal dunia adalah Allahyarhamah Suhaili Binti Mat Saad (Jurutera Daerah Seberang Perai Tengah), Allahyarham Muhammad Khairul Hakim Bin Hamidi (Penolong Jurutera Kanan, JKR Daerah Langkawi) dan Allahyarham Muhammad Ikram Bin Abdul Bari (Pegawai Khidmat Pelanggan, JKR Daerah Langkawi).
Difahamkan ketiga-tiga mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan yang menjalani kursus pengukuhan kerja berpasukan (team building) di lokasi kejadian.
Setakat ini, kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.