Lelaki kongsi rahsia tanam bayam sihat, tumbuh subur dan besar

Lelaki kongsi rahsia tanam bayam sihat, tumbuh subur dan besar

 

Lelaki kongsi rahsia tanam bayam sihat, tumbuh subur dan besar

Berkebun kini menjadi hobi pilihan ramai, bukan sahaja untuk menghiasi halaman rumah tetapi juga sebagai sumber makanan segar. Aktiviti ini semakin popular kerana mudah dilakukan walaupun di ruang terhad. Ramai juga yang mula menanam sayur-sayuran sendiri untuk kegunaan harian.

Antara tanaman yang sering dipilih ialah bayam kerana mudah dijaga dan cepat dituai. Bayam juga kaya dengan khasiat, menjadikannya sayur pilihan untuk hidangan keluarga.

Penanaman bayam sesuai dilakukan di kawasan rumah walaupun hanya ada tanah sekangkang kera.

Pekebun yang dikenali dengan nama panggilan sebagai Cikgu Kebun, atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Ahmad Khasasi berkongsi formula ringkas tanam bayam menjadi subur.

Menerusi perkongsian di laman Facebook peribadinya, Cikgu Kebun menggunakan formula yang merangkumi teknik tanaman, penjarangan dan baja yang betul. Jumlah penggunaan air juga diambil kira di samping pendedahan cahaya yang cukup.

Formula ini terbukti menjadi apabila Cikgu Kebun menunjukkan hasil tanaman bayam separa merahnya yang tumbuh subur dengan daun sebesar tapak tangan.

Selain itu, pokok bayam ini juga tumbuh menghampiri separuh badan lelaki dewasa di samping memiliki batang pokok selebar ibu jari.

“Kalau hampa tengok macam ni, nampak batang besar macam ni tapi dia lembut. Tengok saya patahkan. Nampak je besar tapi dia lembut,” ujarnya sambil menunjukkan demonstrasi menerusi video yang dikongsi.

Menurut lelaki berkenaan, keadaan ini bukan disebabkan baka bayam yang dipilih tetapi berikutan penggunaan formula yang dikongsinya.

Ketika ditanya, Cikgu Kebun memaklumkan bahawa teknik penanaman yang digunakan ialah teknik brownies. Teknik ini digelar bagi cara semaian. Video berikut menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan teknik ini.

@cikgukebun

Semai Benih Sayur Macam Buat Brownies Kek

♬ original sound – Cikgu Kebun CK – Cikgu Kebun CK

Bagi penggunaan baja pula, Cikgu Kebun memilih untuk menggunakan baja wangi organik yang dihasilkannya sendiri.

“Bahan baja ini tanpa najis haiwan, hanya gunakan tumbuhan, batuan mineral dan ada mikrob hidup.

“Tanah pula saya guna formula obess soil. Formula saya buat sendiri tapi nak kongsi ilmu ni boleh,” katanya.

Formula obess soil ini memerlukan anda untuk sediakan beberapa bahan dengan nisbah yang betul.

Menurut Cikgu Kebun, anda perlu sediakan tanah sawit proses dengan nisbah dua, sabut hancur nisbah dua, dan kompos tinja lembu nisbah satu. Selain itu, sekam padi bakar dan sekam padi mentah turut diperlukan dengan nisbah satu setiap satu.

“Sediakan baja wangi organik 100 gram, perlite 50 gram, azomite 50 gram, dolomite 50 gram, CIRP 50 gram,” tambahnya.

Apabila cukup kesemua bahan, gaulkan kemudian sembur soil treatment. Cecair ini turut dibuat sendiri oleh Cikgu Kebun.

Formula ini membuktikan bahawa dengan bahan dan teknik yang betul, sesiapa sahaja boleh menghasilkan tanah subur untuk penanaman bayam di rumah. Selamat mencuba.