Tambang bas sekolah dijangka naik 25 hingga 30 peratus
Tambang bas sekolah dijangka naik 25 hingga 30 peratus
Kenaikan tambang bas sekolah antara 25 hingga 30 peratus dijangka berlaku bagi memastikan industri ini dapat terus bertahan.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia (BSM), Mohd Haron Mohamad Sidik berkata, faktor utama kenaikan ini adalah peningkatan kos alat ganti, gaji minimum, dan persaingan daripada kenderaan haram sekolah yang semakin berleluasa.
Menurut Mohd Haron, sesi persekolahan yang dijangka kembali sepenuhnya pada 2026 akan menyebabkan operasi bas sekolah hanya meliputi tempoh 11 bulan setahun kerana cuti penuh pada Disember.
“Kemungkinan tambang bas sekolah juga sukar diambil pada Oktober dan November kerana ramai murid tidak lagi hadir ke sekolah selepas peperiksaan akhir tahun. Jika dihitung, pengusaha bas sekolah hanya memperoleh pendapatan atau tambang setahun selama sembilan bulan sahaja.
“Sementara itu, perbelanjaan seperti insurans, cukai jalan, pemeriksaan berkala di Puspakom, pinjaman bank, dan kos sara hidup tetap berjalan selama 12 bulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Haron turut meluahkan rasa kecewa apabila Kementerian Pengangkutan menarik semula keistimewaan yang sebelum ini membenarkan bas sekolah menjalankan aktiviti sewaan ketika cuti sekolah. Keputusan ini disifatkan sebagai satu beban tambahan buat pengusaha bas sekolah.
“Ini sudah pasti membebankan pendapatan pengusaha. Lebih teruk lagi, gangguan daripada kenderaan haram sekolah semakin sukar dikawal. Apakah industri ini benar-benar menguntungkan atau sekadar menjadi kerja kebajikan semata-mata?” katanya.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil alih kos tambang bas sekolah bagi meringankan beban ibu bapa dan penjaga. Langkah seperti yang digunakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui modul bas percuma turut disyorkan sebagai penyelesaian bagi menangani isu kenderaan haram sekolah.