Tak pulangkan baki duit, wanita dakwa makcik kantin ambil kesempatan terhadap murid sekolah

Tak pulangkan baki duit, wanita dakwa makcik kantin ambil kesempatan terhadap murid sekolah

 

Lazimnya, setiap ibu bapa akan memberi wang poket buat anak-anak untuk berbelanja di sekolah khususnya bagi membeli makanan.

Bagi sesetengah ibu bapa, ada yang sering menasihatkan agar anak mereka berjimat cermat dan menyimpan duit baki untuk kegunaan pada masa hadapan.

Namun, permintaan itu kemungkinan sukar untuk dipenuhi jika ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap murid sekolah.

Terbaharu seorang pengguna X meluahkan rasa kesal apabila terdapat pekerja kantin yang didakwa mengambil kesempatan terhadap murid sekolah.

Menurut Sarini, perbuatan tidak bertanggungjawab itu telah lama berlaku di sekolah tersebut.

Malah, dia mendakwa pihaknya telah menyuarakan isu tersebut dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) namun tiada sebarang tindakan yang diambil.

“Dah banyak kali kes baki duit anak tak dipulangkan oleh makcik kantin. Masuk mesyuarat PIBG, yang ketua-ketua ni nak perhalusi pemasangan CCTV (kamera litar tertutup), nak kumpul duit dari ibu bapa RM10 sebulan untuk penyelenggaraan, nak lancarkan aplikasi pembayaran tanpa tunai.

“Akhirnya ada yang kuat bodek cakap ibu bapa kena didik anak-anak. Maka hari ni, menyirap sedikitlah saya. Selama ni diam je,” ciapnya.

Walaupun bukan anaknya yang menjadi mangsa, Sarini bersuara bagi membela nasib pelajar lain di sekolah itu.

Ini kerana bagi Sarini, nilai yang diambil itu mungkin nampak sedikit bagi setengah pihak namun ia amat bermakna bagi mereka yang datang daripada golongan berpendapatan sederhana.

“Bukan duit anak saya yang tak dipulangkan tu, anak org lain. Kes ini dah berbulan lamanya. Bayangkan sehari bagi RM5, dapat makan satu paket kentang yang ada 10 ketul kentang? Tahu tak RM5 tu banyak.

“Katakan tiga adik beradik, gaji ibu bapa RM2,000 sebulan. Balik rumah anak perut lapar. Saya marah sangat sebab nak kutip duit ibu bapa lagi.

“Baru ini saya dah tolong bayar yuran PIBG untuk ramai ibu bapa sebab mereka betul-betul tak mampu. Ni nak minta lagi. Memang hilang juga sabar. Kesian pada yang tak mampu,” ciapnya.

Malah, Sarini turut meluahkan rasa kecewa apabila kelantangannya itu ditegur oleh pihak atasan kerana didakwa cuba menghangatkan isu berkenaan dan dianggap tidak mahu menolong bangsa sendiri.

Menerusi ciapan terbaharu Sarini, dia mendedahkan berdasarkan maklumat terkini yang diperolehi olehnya, pekerja kantin berkenaan terdiri daripada warga asing yang kebanyakannya dari negara jiran.

Namun, tender dan pemilik perniagaan di kantin berkenaan dimiliki oleh rakyat tempatan.

Ciapan Sarini nyata menarik perhatian pengguna X yang lain. Rata-rata berang dengan tindakan mak cik kantin yang didakwa mengambil kesempatan dengan tidak memulangkan baki kepada murid sekolah.

Kebanyakannya turut meminta agar pihak sepatutnya melakukan siasatan di atas dakwaan tersebut dan meminta Sarini untuk membuat laporan.

Malah, ada yang turut mempersoalkan keberadaan guru bertugas dalam memastikan dan memantau isu tersebut sekiranya benar-benar seperti apa yang didakwa.

Tidak kurang juga ada yang mencadangkan inisiatif lain bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi.