Tak puas hati alasan Norjuma, mahkamah beri amaran keras

Tak puas hati alasan Norjuma, mahkamah beri amaran keras

 

Pihak Mahkamah  Majistret tak puas hati alasan Norjuma dan bertindak menaikkan wang jaminan serta memberi amaran keras keatas bekas personaliti televisyen itu susulan kegagalan menghadirkan diri semasa prosiding sebutan kes berkaitan pertuduhan mencederakan individu dan melakukan khianat antara 2017 hingga 2023.

Memetik laporan dari Harian Metro, Norjuma atau nama sebenarnya, Norjuma Habib Mohamed telah memberi alasan bahawa ketidakhadirannya disebabkan tiada maklumat terperinci mengenai prosiding di Mahkamah Majistret Jenayah (MMJ) 4.

“Mohon maaf puan, saya pergi kaunter Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan maklumat terperinci kerana saya tidak mengetahui kamar (mahkamah) berapa, di mana dan apa yang berlaku kerana peguam tidak hadir,” katanya yang mengaku sudah melantik peguam.

Walau bagaimanapun, Majistret Noor Elynna Hanim Abd Halim tidak dapat menerima alasan tersebut sekaligus memberikan amaran keras kepada Norjuma.

“Anggap ini sebagai amaran. Wang jaminan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,500,” katanya yang turut membatalkan waran tangkap Norjuma.

Dalam pada itu, bekas personaliti TV itu turut memberikan alasan sama kepada  Majistet Illi Marisqa Khalizan menerusi prosiding di MMJ 2 dan mendapat jawapan yang sama dengan diberi amaran keras serta dinaikkan wang jaminan kepada RM2,000.

“Puan Norjuma, ini amaran terakhir perlu pastikan tarikh-tarikh selepas ini puan hadir, sekiranya tidak waran tangkap akan dikeluarkan atas puan bukan atas peguam.

“Dan kena pastikan tarikh dan mahkamah mana yang puan puan kena hadir.

“Waran tangkap dibatalkan, namun berdasarkan penjelasan diberikan dan tidak mencukupi saya naikkan wang jaminan daripada RM1,500 kepada RM2,000,” ujarnya.

Namun begitu, Majistret Fatin Dayana Jalil dan Nurul Izzah Shaharuddin turut membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan kepada Norjuma atas kegagalannya hadir semasa sebutan kes, bulan lalu.

Pada prosiding hari ini, keempat-empat mahkamah majistret menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes terbabit dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Harvind, Anis Wahidah Mohamad dan Sheryn Yong Shi Yee serta Hamizah Hisan.

Untuk rekod, Norjuma telah didakwa atas pertuduhan pertama, menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di pusat tuisyen di Plaza Batai Bukit Damansara di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018.

Seterusnya, pada tuduhan ketiga, dia dipercayai menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.

Tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk dua lagi kes mengkhianat, Norjuma didakwa merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan CCTV milik sebuah kondominium, dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,700 di Taman U-Thant di sini, pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.