“Ini wang rakyat, jangan sengaja tak mahu bayar pinjaman tapi peraga kemewahan” – Pengerusi Mara

“Ini wang rakyat, jangan sengaja tak mahu bayar pinjaman tapi peraga kemewahan” – Pengerusi Mara

 

“Ini wang rakyat, jangan sengaja tak mahu bayar pinjaman tapi peraga kemewahan” – Pengerusi Mara

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegur sesetengah peminjam institusi itu yang sengaja tidak mahu membayar hutang tetapi pada masa sama memperagakan kemewahan.

Tegas beliau, tindakan itu tidak adil kepada semua pihak dan sekiranya ada masalah untuk menjelaskan pinjaman, mereka sepatutnya memaklumkan kepada pihak Mara.

“Memang kita mengambil tindakan tegas dalam hal ini kerana saya memegang amanah di Mara dan ini bukan wang kami, ini wang rakyat.
“Jadi saya tidak ada kuasa untuk melupuskan apa jua pinjaman, tetapi kalau ada masalah datang jumpa, jangan pula ada masalah atau tidak ada masalah sengaja tidak mahu bayar tetapi memperagakan kemewahan dan sebagainya.

“Saya rasa ini tidak adil bagi semua pihak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Tren SCS Class 92 Projek Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) dan Perjanjian Kolaborasi di antara M Rail Technics (Railtec) dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Depoh EMU KTMB.

Beliau berkata demikian mengulas berkenaan seorang pelakon popular yang didakwa gagal menjelaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.

Bagaimanapun, Asyraf enggan mengulas berkenaan jenis pinjaman dibuat oleh pelakon berkenaan.

Tambah beliau lagi, pihaknya tidak akan sesekali memilih bulu dalam mengambil tindakan tegas terhadap peminjam yang culas sekali gus memastikan setiap sen wang rakyat dapat dipulangkan.

“Kita boleh menjadualkan semula hutang kalau mereka ada masalah, tapi yang menjadi masalahnya apabila sesetengah pihak tidak bersikap tanggungjawab kepada amanah atau hutang,” katanya.

Jelas Asyraf, apa yang lebih dikesalkan ada peminjam yang terus menghilangkan diri namun hanya muncul apabila tindakan dikenakan.

Jelasnya, setiap peminjam sepatutnya mempunyai komitmen membayar balik pinjaman perniagaan atau pendidikan mereka mengikut jadual ditetapkan.

“Tetapi sekiranya ada masalah boleh datang berunding supaya penjadualan dan penstrukturan semula dapat dilakukan.

“Tiada kos tambahan pun dan tindakan mahkamah dan perundangan adalah tindakan terakhir,” katanya.

Selain itu ujar Asyraf, kajian dilakukan juga mendapati sesetengah peminjam institusi itu meletakkan tanggungjawab membayar hutang sebagai keutamaan terakhir berbanding komitmen-komitmen lain.

“Bayar hutang kereta, hutang rumah dan hutang peribadi tapi Mara yang terakhir dan kalau boleh tak bayar langsung pun tidak mengapa kerana beranggapan ia adalah hasil daripada kerajaan,” katanya.