Syarikat kren tabur bonus RM36 juta atas meja untuk pekerja

Syarikat kren tabur bonus RM36 juta atas meja untuk pekerja

 

Syarikat kren tabur bonus RM36 juta atas meja untuk pekerja

Sebuah syarikat di China dilapor memberi bonus akhir tahun yang luar biasa kepada kakitangannya melalui pertandingan mengira wang secara besar-besaran.

Menurut portal Mothership, pertandingan mengira bonus itu diadakan oleh Henan Mine Crane Co. Ltd, sebuah syarikat pengeluar kren yang berpangkalan di wilayah Henan.

Difahamkan, syarikat tersebut menyediakan wang tunai berjumlah 60 juta Yuan (kira-kira RM36 juta) di atas meja sepanjang hampir 70 meter.

Menerusi video yang tular di aplikasi Douyin, pekerja syarikat tersebut dibenarkan untuk memiliki wang bonus yang disediakan dengan beberapa syarat.

Antara syarat yang ditetapkan, kakitangan syarikat itu dibahagikan kepada beberapa pasukan dengan setiap pasukan mengandungi 30 orang ahli.

Setiap pasukan seterusnya perlu melantik dua orang ahli terbaik yang pakar dan pantas mengira wang untuk menjadi wakil dalam pertandingan tersebut.

Dua orang wakil ini kemudian perlu mengira wang-wang yang disediakan di atas meja dalam tempoh 15 minit dan dibenarkan untuk mengambil wang setakat yang mampu mereka kira.

Jumlah yang mampu dikira itu kemudian dihitung sekali lagi dan sekiranya tepat, wang tersebut akan dibahagikan bersama ahli kumpulan mereka sebagai wang bonus.

Sekiranya jumlah yang dihitung semula tidak tepat seperti kiraan awal, amaun tertentu wang yang sempat dikira akan diambil kembali oleh syarikat tersebut dan bakinya boleh dibahagikan bersama ahli kumpulan seperti biasa.

Dalam pada itu, dua orang wakil yang dihantar setiap pasukan juga menerima tambahan sebanyak 100 Yuan sebagai bonus penyertaan.

Konsep ini telah menjadikan acara pemberian bonus berkenaan penuh dengan keterujaan dan debaran.

Menurut Mothership.sg, salah seorang wakil dilapor berjaya mengira sehingga 100,000 Yuan dengan tepat dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Difahamkan, ini bukanlah kali pertama syarikat tersebut memberikan bonus luar biasa kepada kakitangannya. Pada 2023, Henan Mine Crane Co. Ltd. membelanjakan kira-kira RM45.67 juta untuk tujuan tersebut.

Kira-kira RM38.5 juta diagihkan semasa acara tahunan syarikat pada 17 Januari lepas, manakala bakinya pula diberikan melalui pertandingan yang dianjurkan sehari kemudian.