Warga emas cedera SUV rempuh KFC meninggal dunia

Warga emas cedera SUV rempuh KFC meninggal dunia
Wanita warga emas yang cedera akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menerobos masuk ke sebuah restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, dekat sini, malam tadi sudah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata kejadian sekitar jam 9.05 malam tadi itu turut mengakibatkan seramai tujuh orang pelanggan restoran itu termasuk seorang kanak-kanak cedera ringan.
Menurutnya, mangsa yang maut adalah wanita warga emas berumur 73 tahun yang juga pelanggan restoran berkenaan dengan dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Seri Manjung.
Kemalangan di Kilometer 0.5 Jalan Sitiawan-Lumut berhampiran persimpangan empat hala lampu isyarat itu, terjadi apabila SUV jenis Volvo XC90 yang dipandu seorang lelaki berumur 29 tahun yang datang dari arah Kampung Koh menghala ke Sungai Wangi, dipercayai hilang kawalan.
“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat hadapan restoran makanan segera itu, pemandu motokar (SUV) terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan sebelum merempuh bangunan restoran berkenaan dan turut melanggar lapan pelanggan restoran.
“Akibat kemalangan, pemandu motokar cedera ringan, seorang wanita berumur 73 tahun meninggal dunia, manakala tujuh pelanggan lain dalam lingkungan umur 5 hingga 38 tahun cedera ringan dan menerima rawatan di hospital sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemandu SUV ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Malam tadi, media ini melaporkan pelanggan serta pekerja sebuah restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, tergamam apabila sebuah SUV menerobos masuk ke restoran berkenaan yang mengakibatkan seorang wanita warga emas cedera tersepit di bawah kenderaan itu.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan situasi di tempat kejadian yang terletak sangat hampir dengan persimpangan lampu isyarat antara Jalan Lumut dan Jalan Haji Mohd Ali di Sitiawan itu.