“4 tayar seperti dikunci” – Sekeluarga berdepan detik cemas, SUV elektrik brek sendiri di lorong kanan

“4 tayar seperti dikunci” – Sekeluarga berdepan detik cemas, SUV elektrik brek sendiri di lorong kanan
Sebuah keluarga mengalami detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (SUV) elektrik sepenuhnya (EV) yang baru dibeli 10 bulan lalu berhenti mengejut ketika sedang dipandu di lebuh raya.
Kisah berkenaan yang tular di media sosial dikongsikan oleh pemilik kenderaan itu, Izwan Hassan, 33, yang masih trauma dengan kejadian yang berlaku pada 1 Mei lalu ketika beliau dalam perjalanan bersama keluarganya dari Melaka ke Pulau Pinang.
Izwan ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, ketika kejadian beliau sedang memandu di lorong paling kanan Lebuh Raya Cheras-Kajang dengan kelajuan sekitar 90 hingga 100 kilometer sejam.
“Pengalaman paling mengerikan buat kami sekeluarga apabila SUV EV buatan China itu tiba-tiba membrek sendiri tanpa sebarang amaran atau petunjuk.
“Pada paparan skrin kenderaan, hanya tertera mesej ‘Power System Failure’ manakala keempat-empat tayar seperti dikunci,” katanya pada Rabu.
Izwan berkata, beberapa kenderaan juga hampir merempuh SUV tersebut selepas ia berhenti mengejut di lorong kanan lebuh raya berkenaan, namun beliau sempat menghubungi pihak lebuh raya untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
“Kurang 10 minit, anggota peronda tiba dan mengawal aliran trafik. Saya cuba mematikan dan menghidupkan semula sistem kenderaan tetapi tiada respons. Tayar pula terkunci walaupun gear telah ditukar ke mod ‘neutral’, menyebabkan kereta tidak boleh ditolak,” ujarnya.
Katanya, selepas hampir sejam, lori tunda insurans tiba dan membawa kenderaan tersebut ke pusat servis memandangkan kejadian berlaku pada waktu hampir senja dan pusat servis telah pun ditutup.
Tambah Izwan, keluarganya terpaksa menumpang di rumah saudara berdekatan kerana tidak dapat meneruskan perjalanan pulang ke kampung seperti dirancang.
Keesokan harinya, Izwan menghubungi pusat servis berkenaan namun kecewa dengan layanan yang diterima.
“Mereka memberikan pelbagai alasan seperti kekurangan staf dan tiada temu janji. Saya terpaksa bertegas kerana ini melibatkan keselamatan. Petang itu, mereka memaklumkan terdapat masalah pada bateri 12 volt dan pemeriksaan lanjut perlu dibuat,” jelasnya.
Izwan berkata, beliau dimaklumkan kenderaan memerlukan beberapa hari untuk dibaiki dan tiada kenderaan ganti disediakan kerana stok telah habis.
“Kami terpaksa membatalkan hasrat pulang ke kampung dan akhirnya pihak berkenaan bersetuju menghantar kami pulang ke Melaka selepas beberapa kali rundingan,” katanya.
Jelasnya lagi, ini bukan kali pertama beliau berdepan masalah selepas membeli kenderaan berkenaan.
“Saya pernah melaporkan kerosakan pada pengecas rumah sejak Februari lalu namun sehingga kini belum selesai.
“Setiap kali dihubungi, jawapan sama diterima iaitu masih menunggu maklum balas pembekal,” ujarnya.
Pada 5 Mei lalu, pusat servis mengesahkan bateri 12 volt kenderaan perlu ditukar kerana bacaan voltan terlalu rendah. Kos penggantian sebanyak RM418 bagaimanapun tidak dilindungi waranti kerana jarak perbatuan telah melebihi 20,000 kilometer.
“Apa yang mengejutkan, pihak teknikal memaklumkan memang tiada sistem amaran awal untuk kerosakan bateri kecil ini, menyebabkan kenderaan terus brek secara automatik,” katanya.
Jelas Izwan, perkongsian itu bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya memberi peringatan kepada pengguna lain agar lebih peka terhadap sebarang kemungkinan ketika memandu kenderaan elektrik sepenuhnya.