Suspek kes tembak di pusat beli-belah maut ditembak di bilik hotel

Suspek kes tembak di pusat beli-belah maut ditembak di bilik hotel

 

Suspek kes tembak di pusat beli-belah maut ditembak di bilik hotel

Suspek kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di Shah Alam, pada 8 Februari lalu, maut ditembak di Pulau Ketam, pada awal pagi Selasa.

Memetik laporan Harian Metro, suspek lelaki warga tempatan yang berusia lingkungan 30-an itu mati selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira jam 3 pagi.

Menurut Ketua Polis Selangor iaitu Datuk Hussein Omar Khan, insiden itu berlaku di sebuah bilik hotel di Pulau Ketam ketika polis melakukan serbuan.

Pasukan polis berjaya menembak mati suspek terbabit.

Polis juga menemui dua pucuk senjata api berisi peluru bersama suspek.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes jenayah samun selain dipercayai terbabit dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah Setia City Mall, baru-baru ini.

Pada 8 Februari lalu, polis menerima laporan tentang insiden tembak yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam. Suspek telah melepaskan tembakan kepada seorang pekerja pembersihan sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan.

Suspek kemudian menahan sebuah Perodua Ativa, mengacukan pistol dan memaksa pemandu membawanya keluar sebelum menghilangkan diri di tepi lebuh raya.

Hasil siasatan awal polis mendapati suspek melepaskan tembakan dipercayai akibat berang ditegur pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.