Suspek kes bunuh suami isteri ditahan

Suspek kes bunuh suami isteri ditahan

 

Polis berjaya menahan suspek yang juga adik lelaki yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan suami isteri di Taman Bercham Aman di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil tindakan segera, polis menangkap suspek yang berusia 61 tahun di Genting Highlands, Pahang, pada 7.45 malam tadi.

“Polis juga menjumpai senjata sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk mendatangkan kematian kepada mangsa.

“Dengan tertangkapnya suspek ini dan rampasan barang kes, maka kes bunuh ini berjaya diselesaikan dalam masa 11 jam selepas laporan polis diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pagi ini.

Mior Faridalathrash berkata, Polis Perak mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang, pengurusan resort World Genting dan rakan media serta orang awam di atas kerjasama dan bantuan yang diberikan sehingga berjaya menangkap suspek ini dalam masa yang singkat.

Menurut beliau, semakan pihak polis mendapati suspek memiliki satu rekod kesalahan lampau di bawah seksyen 325 kanun keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah.

“Ujian saringan urin suspek mendapati bebas daripada pengaruh dadah. Suspek akan dibawa ke Majistret Ipoh pada hari ini untuk permohonan reman,” katanya, seperti dilaporkan Harian Metro.

Semalam, media melaporkan, polis memburu adik kepada lelaki yang ditemukan maut bersama isteri dipercayai dibunuh di kediaman mereka di Taman Bercham Aman di sini.

Mangsa dipercayai dibunuh ahli keluarga keluarga.