JKM sahkan suspek cabul kanak-kanak perempuan di masjid ada kad OKU sejak kecil

JKM sahkan suspek cabul kanak-kanak perempuan di masjid ada kad OKU sejak kecil

 

JKM sahkan suspek cabul kanak-kanak perempuan di masjid ada kad OKU sejak kecil

Lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul seorang kanak-kanak perempuan ketika mangsa sedang menunaikan solat subuh di sebuah masjid di Batang Kali di sini, semalam, memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim, ketika mengesahkan perkara itu berkata hasil pemeriksaan dan semakan oleh pihaknya mendapati individu terbabit mempunyai kad OKU sejak kecil.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati dia (suspek) mempunyai kad OKU ‘Learning Disability’ (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menunggu pengesahan JKM berhubung kad OKU milik lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dipetik berkata memang ada ditemui kad OKU itu tetapi ia perlu mendapat pengesahan daripada JKM terlebih dulu.

Lelaki itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 28 Februari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Sebelum ini, polis menerima laporan pada jam 8.19 pagi semalam berhubung kejadian itu yang turut tular dalam media sosial, sebelum suspek ditahan pada hari sama di sekitar Batang Kali.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid terbabit.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak perempuan yang sedang sujud, dari arah belakang tanpa disedari jemaah lain.

Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit dilihat mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul. Bagaimanapun, mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.