6 sekeluarga terkorban di Sungai Korok, ini yang perlu anda tahu

6 sekeluarga terkorban di Sungai Korok, ini yang perlu anda tahu
Berita kehilangan enam sekeluarga sejak Sabtu mendapat perhatian warga maya sehinggakan ramai ternanti-nanti apakah penyudah kepada kes tersebut.
Pagi ini, heboh apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara Sedan ditemukan tenggelam di dasar sungai bersama beberapa mangsa disahkan meninggal dunia, dipercayai enam beranak yang dimaksudkan.
Berikut merupakan garis masa sebelum dan semasa kehilangan sehingga berakhir dengan penemuan di Sungai Korok, Jitra, Kedah.
5 JULAI:
– Mangsa, Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, bersama isteri dan empat anaknya yang menetap di Jerlun datang bermalam di rumah adik di Taman Aman, Jitra.
6 JULAI:
– Adik kepada Mohd Azim, Nur Adliah Shuhada membuat laporan polis selepas keenam-enam mereka gagal dikesan sejak pagi Sabtu selepas pulang bermalam.
– Katanya, mereka selalu datang bermalam di rumah dan selalu pulang pada awal pagi sebelum abangnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan masuk kerja.
– Kehilangan Mohd Azim dan isterinya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, beserta empat cahaya mata berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun disedari apabila mereka tidak pulang ke rumah di Jerlun serta gagal dihubungi.
– Nur Adliah Shuhada menambah anak sulung pasangan itu yang berusia 12 tahun tidak ikut serta sebaliknya tinggal bersama nenek di Jerlun.
– Jelasnya lagi pada malam sebelum kejadian mereka berbual seperti biasa dan pasangan suami isteri itu tidak pernah bercerita mempunyai sebarang masalah.
– Media mulai membuat laporan berita dan hebahan mengenai kehilangan enam sekeluarga itu.
7 JULAI:
– Enam sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak Sabtu ditemukan meninggal dunia pada pagi Isnin di dalam kereta Proton Iswara yang tenggelam di Sungai Korok.
– Kenderaan tersebut dikesan berada di dasar sungai sebelum pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah digerakkan ke lokasi.
– Ketua Zon 1 JBPM Kedah dan Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kereta terjatuh di dalam sungai terbabit pada jam 8.38 pagi.
– Mayat disahkan seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, tiga kanak-kanak dan seorang bayi.
– Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan dan proses pengecaman dilakukan oleh waris.