Suka tayang duit & kemewahan di media sosial, ‘influencer’ kini dipantau LHDN

Suka tayang duit & kemewahan di media sosial, ‘influencer’ kini dipantau LHDN

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti pempengaruh atau ‘influencer’ di media sosial serta individu yang kerap mempamerkan kemewahan, lapor Sinar Harian.

Tujuan tersebut adalah bagi memastikan mereka tidak mengelak daripada menunaikan tanggungjawab membayar cukai.

Menurut Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai LHDN, Abang Ehsan Abang Abu Bakar, pemantauan akan dilakukan  menerusi semua platform media sosial dan e-dagang setiap hari.

Jelasnya, badan tersebut telah menubuhkan satu unit khas iaitu Seksyen Audit Ekonomi Digital (SAED) bagi tujuan ini.

Unit khas berkenaan berperanan khusus dalam memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang menjalani gaya hidup mewah tetapi tidak membayar cukai.

“Ada yang kita kesan mereka ini gemar menayang kehidupan mewah seperti wang dan sebagainya.

“Biar pun tidak menjadi satu kesalahan, namun pemantauan sememangnya dijalankan bagi memastikan mereka menunaikan tanggungjawab membayar cukai,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat LHDN di Cyberjaya.

Tambahnya, LHDN sentiasa menjalankan aktiviti pematuhan berdasarkan konsep Awareness, Education and  Services (AES).

“Pendekatan AES kini dijadikan elemen utama dalam budaya kerja LHDN dalam memastikan golongan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Abang Ehsan berata,  aktiviti pematuhan yang dijalankan itu dibuat berdasarkan tahap penilaian risiko yang bersesuaian menerusi pelbagai sumber termasuklah aduan orang awam.

“Pempengaruh yang terpilih bagi semakan pematuhan perlu mengemukakan bukti berkaitan aktiviti perniagaan mereka kepada LHDN semasa semakan pematuhan dijalankan,” ujarnya.

Tugasan ini dilaksanakan SAED menerusi ruangan komen media sosial milik pempengaruh dan usahawan digital yang telah dikenal pasti.

Jelasnya, tindakan itu bertujuan bagi mempengaruhi tingkah laku mereka dalam membuat keputusan untuk mematuhi undang-undang percukaian.

“Secara langsung ia dapat memberi kesedaran kepada pembayar cukai selari dengan pendekatan AES,” katanya.

Selain itu, LHDN turut menghadapi cabaran dalam melaksanakan kaedah pemantauan menerusi platform media sosial ini.

“Perkembangan aktiviti pempengaruh di platform media sosial yang sentiasa bertambah dan perubahan model perniagaan atas talian yang pantas dari semasa ke semasa merupakan antara cabaran dalam memantau aktiviti pempengaruh media sosial.

“Segala bentuk dakwaan dan informasi yang berfakta atau bersifat tidak pasti sentiasa dalam pemantauan pihak LHDN,” jelasnya.

Katanya, aktiviti pematuhan boleh dijalankan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai risiko untuk tidak mematuhi undang-undang cukai.