“Ugut mahu bunuh jika keluar dari rumah” – Suami Zahnita Wilson ditahan polis
“Ugut mahu bunuh jika keluar dari rumah” – Suami Zahnita Wilson ditahan polis
Suami Zahnita Wilson ditahan polis susulan laporan yang dibuat oleh bekas model dan pelakon itu berhubung keganasan rumah tangga yang dialami sepanjang perkahwinan.
Memetik laporan dari Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan yang suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membantu siasatan.
Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuantan esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.
Dalam pada itu, ada sumber menyatakan bahawa kejadian yang mengakibatkan kecederaan lebam di wajah Zahnita berlaku pada 26 November lalu sekitar jam 10 pagi apabila suami mangsa datang ke kediaman dan berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Difahamkan pelakon terbabit ingin tinggal berasingan selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Ketika itu, mangsa diugut suaminya yang ingin membunuhnya jika keluar dari rumah sebelum dicederakan,” katanya.
Terdahulu, bekas peragawati itu telah berkongsi gambar keadaan dirinya dengan kesan lebam di mata dan mengakui menjadi mangsa keganasan rumah tangga suami.
Dia yang sudah bersabar selama 20 tahun menyatakan kejadian seperti itu bukan pertama kali berlaku dan pernah menfailkan penceraian pada 2013 namun kembali berbaik semula.
Walau bagaimanapun, Zahnita atau nama sebenarnya, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39 menyatakan dia sebenarnya tidak mahu berkongsi kecederaannya, namun terpaksa melakukan hal sebegitu kerana sudah berulang kali mengalami hal yang sama.