Suami dedah dipaksa ceraikan Nora, dakwa difitnah isteri pertama

Suami dedah dipaksa ceraikan Nora, dakwa difitnah isteri pertama

 

Suami dedah dipaksa ceraikan Nora, dakwa difitnah isteri pertama

Suami kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin, Dr Rushdi Ramli mempertahankan kenyataan isteri keduanya yang mendakwa perceraian berlaku disebabkan desakan isteri pertama, Rose Aliza Sutrisno dan anaknya, Alia Rushdi.

Melalui kenyataan media dikeluarkan, Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya (UM) turut menyifatkan kenyataan dikeluarkan Rose iaitu perceraian berlaku atas kehendak suami sebagai fitnah.

“Pada awalnya, saya tidak ingin membuat sebarang kenyataan lanjut mengenai isu ini. Namun, demi untuk menyatakan kebenaran dan membersihkan nama, saya menafikan sepenuhnya kenyataan dibuat oleh Rose.

“Kenyataan berkenaan tidak benar dan mendatangkan fitnah besar kepada saya sebagai suami dan Nora sebagai isteri kedua.

“Hakikatnya, wujud desakan dan suruhan daripada pihaknya (Rose) sehingga saya menceraikan Nora, namun kemudiannya saya rujuk semula.

“Saya ingin menyatakan terdapat bukti wujudnya desakan dan suruhan daripada pihak ketiga untuk saya menceraikan Nora,” katanya.

Meskipun mengakui memahami perasaan dialami Rose yang dimadukan tanpa pengetahuan, namun Rushdi berkata, itu tidak bermakna isteri pertamanya itu boleh bertindak sesuka hati dengan memaksa dirinya menceraikan Nora.

“Bagaimanapun, saya ingin nyatakan di sini, saya sangat berharap kemelut isteri-isteri saya dapat diselesaikan secara harmoni demi bulan Ramadan yang mulia ini. Saya amat sayang kedua-dua isteri dan keluarga saya.

“Sesungguhnya saya amat menghargai segala kebaikan dan pengorbanan isteri pertama sepanjang hidup bersamanya, selain saya juga menghargai kebaikan isteri kedua.

“Saya amat berharap saya dan isteri-isteri saya dapat melayari bahtera dan meniti kehidupan bersama dengan sakinah, mawaddah warahmah hingga ke jannah-Nya,” ujarnya.

Pada 19 Mac lalu, Rose menerusi hantaran di Facebook menafikan dia dan anaknya menjadi punca perceraian suaminya dan isteri keduanya seperti didakwa Nora sebelum ini.

Rose mendakwa keputusan perceraian dibuat atas pertimbangan suaminya sendiri dan bukan atas desakan mereka.

Kenyataan balas dibuat Rose selepas Nora memaklumkan sudah pun membuat permohonan cerai terhadap Rushdi melalui perkongsian foto papan tanda Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat berserta kenyataan permohonan cerai dibuat bukan atas kerelaannya sendiri.

Sebaliknya, Nora mendakwa keputusan dibuat bagi menunaikan hajat isteri pertama dan desakan anak.