“Dia isteri yang baik” – Suami sedih Nora dilabel penyondol

“Dia isteri yang baik” – Suami sedih Nora dilabel penyondol

 

“Dia isteri yang baik” – Suami sedih Nora dilabel penyondol

Jarang bersuara, suami kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin iaitu Dr. Rushdi Ramli tidak menyangka keputusannya untuk berpoligami menerima tentangan hebat namun tetap menerima suratan takdir dan segala ujian daripada Allah dengan reda.

Menurut Rushdi, 59, berpoligami tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya sebelum ini tetapi akhirnya dilakukan kerana niat murni terhadap Nora iaitu untuk membimbing selepas pemergian Allahyarham Johan Nawawi.

“Sesungguhnya, tidak pernah terlintas langsung dalam minda dan diri saya untuk mendekati Nora atas sebab kerjaya dan bidang yang jauh berbeza antara kami.

“Didorong niat murni untuk menjaga, membimbing, mengajar ilmu dan menjaga anak-anak arwah yang masih pada awal usia, di sinilah timbulnya keinginan untuk meminang.

“Demi Tuhan, hanya Allah SWT sahaja yang tahu niat saya dan semuanya adalah dengan kehendak-Nya jua,” katanya.

Mengulas tentang isu rumah tangganya yang menjadi bahan bualan ramai baru-baru ini, Rushdi menerima segala ujian Tuhan namun bersyukur masih dapat menempuhinya dengan tenang.

“Kami diuji dengan isu panas yang boleh memecah-belahkan rumah tangga. Lebih lagi, adanya campur tangan daripada insan yang rapat dengan saya.

“Inilah dugaan dan cabaran dalam berpoligami. Saya pernah menerima desakan dan asakan cukup mencabar kehidupan berpoligami, namun dapat diatasi dengan izin Allah.

“Apakah alasan boleh diberikan sedangkan poligami dibenarkan dalam Islam dengan kata sepakat para ulama. Adakah saya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami, bapa kepada anak-anak yang sudah dewasa?,” ujarnya.

Menganggap semua yang berlaku termasuk keputusannya untuk berpoligami adalah suratan takdir, Rushdi mengakui tanggungjawab dipikulnya ketika ini terlalu besar.

“Sebenarnya saya tak pernah terfikir berpoligami kerana secara peribadi saya merasakan tidak layak, sedar cabarannya amat banyak dan besar.

“Masyarakat pula sering mencanangkan idea negatif seperti isteri kedua adalah perampas kerana kehadirannya dikatakan boleh memporak-perandakan rumah tangga bahagia yang terbina selama ini.

“Namun, hakikatnya kita tidak dapat menolak takdir dan ketentuan Ilahi dalam hidup seperti dinyatakan dalam Rukun Iman,” ujarnya.

Sebagai suami, dia berasa sedih apabila Nora dilabel dan dilemparkan dengan pelbagai gelaran negatif oleh segelintir pihak.

“Dalam kehidupan poligami, gelaran seperti ‘penyondol’ dan ‘sundal’ sering dikaitkan dengan isteri-isteri. Sama ada isteri kedua, ketiga dan seterusnya.

“Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan wajar dihentikan kerana bertentangan dengan ajaran Islam. Ini juga berlaku kepada Nora yang turut menerima gelaran sedemikian.

“Di sini, tidak dapat dinafikan sayalah insan yang meminang Nora dan bukan sebaliknya,” tuturnya.

Dalam masa sama, dia sempat memuji isteri keduanya yang disifatkan sentiasa menjaga diri termasuk menutup aurat mengikut kehendak syariah. Bahkan, Nora juga dipuji kerana tidak pernah memberi reaksi berlebih-lebihan meski dihambat dengan kontroversi.

“Nora sentiasa menjaga aurat, berpakaian secara sopan, patuh syariah, tidak mencolok mata, bersesuaian dengan keadaan dan majlis dihadiri.

“Dia sentiasa menerima nasihat dan pandangan daripada saya atau ustaz lain. Nora insan yang suka belajar dan mencari ilmu.

“Saya akui dari sudut perwatakan dan perangai, Nora tidak ‘over react’ dalam segala hal terutamanya ketika di khalayak ramai.

“Alhamdulillah, Nora sentiasa menjaga tatasusila, sopan santun, sesuai dengan kedudukan dirinya sebagai isteri ustaz. Nora juga tidak sombong, mudah mesra, peramah dengan semua orang, lebih lagi, bila bersama dengan saya dalam pelbagai majlis,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Rushdi juga melabel Nora sebagai isteri yang baik selain bijak menangani emosi dalam keadaan tertekan.

“Dia sentiasa tersenyum biarpun dalam keadaan ‘stress’ dan mampu menyembunyikan tekanan, kesedihan dan masalah dihadapi.

“Paling penting, saya terpaksa sebut Nora sebagai isteri yang baik. Sentiasa menjaga makan minum suami kerana dia minat masak memasak.

“Ikhlas saya nyatakan bahawa saya kagum kerana Nora bukan seorang wanita suka mendampingi mana-mana lelaki yang bukan suaminya.

“Sepanjang perkahwinan bersama Allahyarham Johan dan saya, Nora tidak pernah curang atau nusyuz,” ujarnya lagi.

Menerusi perkongsian sama, dia berharap masyarakat dapat mendoakan baik-baik dan tidak lagi melemparkan kata-kata negatif terhadap mereka sekeluarga.

“Saya memohon agar rumah tangga dibina ini yang berasaskan kerana Allah akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

“Doakan juga agar Nora sentiasa menjadi seorang yang kuat, sabar, tabah dalam melayari kehidupan baharu ini.

“Semoga kehadiran saya yang serba kekurangan sedikit sebanyak dapat memberikan bantuan dan sokongan dalam apa juga bentuk terhadap keluarga Nora, khususnya untuk keluarga arwah sahabat saya dunia akhirat, Allahyarham Johan,” luah Rushdi.

Nora atau Wan Norafizah Ariffin mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya pada Disember 2021.