Isteri ‘rentung’ diejek mentua, suami hanya membatu main telefon

Isteri ‘rentung’ diejek mentua, suami hanya membatu main telefon
Sikap segelintir ibu mentua yang lancang dalam berkata-kata boleh membuatkan menantu takut untuk mendekati mereka.
Seperti dihadapi seorang wanita, dia memilih untuk tidak lagi melawat atau pergi ke rumah mentua yang didakwa suka menyindir serta mengutuk dirinya.
Tidak cukup dirinya seorang, ahli keluarga lain turut menjadi mangsa kutukan mentua dengan adik beradiknya dituduh mandul.
Lebih mengecewakan, suami langsung tidak mempertahankan dirinya setiap kali diperlakukan sedemikian.
“Hati, muka dan semua organ tak mampu lagi dah nak bertahan apabila mentua kutuk keluarga dan adik beradik saya.
“Suami sedikit pun tidak mempertahankan saya. Hanya duduk main telefon atau membatu memandang meja, sambil saya ‘rentung’ diejek mentua,” luahnya di laman sosial.
Wanita ini juga memberitahu, ibu mentua suka memperkecilkan dirinya seolah-olah jahil agama kerana bersekolah di asrama penuh aliran Sains.
Malah mentua juga menganggap anak lelakinya mempunyai gaji tinggi selain suka mencanang kisah dirinya lebih-lebih lagi jika tidak ikut pulang ke kampung.
“Anak dia duit banyak. Jadi kalau nampak saya berlebih-lebih dia syak semua dari anak dia.
“Kalau lama tak balik, saya yang tak bagi suami balik jumpa dia (mentua). Kalau anak-anak ikut balik, semua orang tahu.
“Saya juga dituduh punca kedua anak (cucu) tak rapat dengan keluarga suami,” tulisnya.
Wanita ini memberitahu, setiap apa yang dicanang itu sama sekali tidak benar.
Tegasnya, adik beradiknya juga tidak mandul dan sudah membuat pemeriksaan kesihatan namun mereka belum ada rezeki dikurniakan zuriat.
“Biarpun saya bukan sekolah agama, pemakaian saya menutup aurat, tak ketat, tudung tutup dada, berstokin. Kalau dulu cuti semestar, saya belajar di pondok.
“Walau anak dia (suami) gaji RM10,000 gaji saya hanya RM5,000 saya beli dan bayar rumah setiap bulan. Saya buat simpanan anak-anak di ASB. Baju saya dan anak-anak, mainan semua saya tanggung.
“Suami cuma bayar barang dapur dan yuran sekolah. Duit dia (suami) untuk main saham. Untung saham sakan beli barang keperluan dia,” jelasnya.
Katanya, setiap kali diajak pulang ke rumah mentua dia akan memberi pelbagai alasan namun suaminya lebih suka pulang sendiri tanpa anak isteri.
Sikap suami yang dingin dengan kedua-dua anak dan penting diri juga membuatkan wanita ini memilih untuk tidak menambah anak.
“Punca anak-anak jadi begitu kerana pendekatan berbeza. Keluarga saya menggunakan dwi bahasa. Apabila mereka berbahasa Inggeris, mentua ejek malah cubit atau tengking apabila mereka menangis.
“Suami pun tak rapat dengan anak-anak, selalu cubit dan tengking. Pernah dia halau anak ketika berusia 1 tahun 7 bulan keluar rumah sebab tak nak tidur awal waktu malam.
“Anak kedua baru dua tahun dan kalau beranak saya boleh meroyan. Suami hanya main telefon, tengok kartun dan saham,” katanya.
Jika diajak berbincang pula, lelaki itu akan lari, merajuk dan membisu.
Menurut wanita ini, dia juga letih dengan sikap suami yang tidak ambil tahu tentang anak-anak sehingga trauma untuk meninggalkan dua beradik itu dengan bapa mereka.
“Punya dia (suami) melekat dengan telefon dan dunia dia, sampai anak terkapai-kapai lemas dalam kolam.
“Alhamdulillah saya sempat jerit dan goncang dia suruh selamatkan, baharu dia sedar. Sejak itu, saya trauma,” luahnya penuh kecewa.
Wanita ini berkata dia sudah berusaha untuk berdamai dengan keadaan bahkan cuba untuk berbincang secara baik dengan mentua.
“Selama lima tahun saya mencari cara untuk berdamai dan penyelesaian kepada permasalahan ini.
“Saya cuba untuk membeli pelbagai jenis makanan untuk mentua bahkan memasak untuknya setiap kali balik.
“Bukan setakat cat, sapu rumah malah saya kemas laman rumah, dapur dan bilik. Tapi dimarahi, dia cakap tak perlu rajin sangatlah,” katanya.