“Tak tahu nak bawa ke mana hati ini” – Suami Kiah Propa meninggal dunia

“Tak tahu nak bawa ke mana hati ini” – Suami Kiah Propa meninggal dunia

 

“Tak tahu nak bawa ke mana hati ini” – Suami Kiah Propa meninggal dunia

Suami pelakon dan pengacara, Siti Rokhaidah Abdul Khalil atau Kiah Propa, iaitu Mohamad Nazri Ismail, 57, meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN) di sini, kira-kira jam 6 pagi tadi.

Allahyarham Mohammad Nazri disahkan menghidap kanser leher dan kelenjar air liur, November lalu.

Berita duka itu dikongsi Kiah Propa melalui hantaran Instagram (IG), pagi tadi.

“Assalamualaikum, suami saya baru menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira jam 6 pagi tadi di IKN.

“Insyallah jenazah akan disimpan di Saujana Utama, Selangor.

“Saya mohon semua yang menonton video ini dapat mendoakan agar rohnya tenang dan semoga dicucuri rahmat,” katanya.

Dalam pada itu, Kiah juga membuat luahan menyentuh hati sebelum pemergian suami tercinta.

Kiah meluahkan rasa sebak dan mengakui tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hari-hari yang mendatang selepas pemergian insan tersayang.

“Tak tahu nak bawa ke mana hati ini… Tak tahu nak bersandar dengan siapa… Sayu rasa hati malam raya aku dan anak-anak di IKN Putrajaya.

“Siapkan babah baju, mandikan babah, gantikan cadar, basuhkan luar dalam, dia dah wangi sapu minyak panas, pakai pampers, pakai baju baru siap semua baru balik.

“Selamat hari raya babah… Inilah raya pertama setelah kita berpisah…” coretnya.

Semalam, menerusi perkongsian IG, Kiah memaklumkan kesihatan suaminya merosot apabila paras oksigen turun selain mengalami jangkitan dalam darah.

Kiah Propa dan Allahyarham Mohammad Nazri mendirikan rumah tangga pada 2011, namun, bercerai pada 2016 dan rujuk semula pada 16 November lalu.

Ketika itu, Kiah dilapor melamar suaminya dengan niat ingin menjaga beliau yang menghidap kanser.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan berusia 13 dan sembilan tahun.