Tuan rumah terkejut suami isteri datang beraya bergaduh, lempar & hempas pinggan sampai pecah

Tuan rumah terkejut suami isteri datang beraya bergaduh, lempar & hempas pinggan sampai pecah
Hasrat untuk beramah mesra dan bertukar cerita dengan menjemput rakan lama datang beraya sempena sambutan Aidilfitri nampaknya gagal mencapai matlamat.
Manakan tidak, tuan rumah terpaksa menyaksikan ‘drama’ suami isteri bergaduh di hari raya.
Begitulah yang diluahkan seorang pemuda mengenai kejadian yang berlaku pada hari raya kedua, Selasa lalu membabitkan rakan sekolahnya.
“Datang rumah orang lepas tu bergaduh. Tunjuk hangpa punya panas baran dan ego. Tunjuk semua perangai-perangai hangpa kat orang, habis pecah pinggan rumah orang.
“Mula-mula kami bersembanglah. Dia bawa anak seorang. Saya tegurlah anak dia… eh lawanya baju hang, cantik kain.
“Kemudian mak dia iaitu rakan saya tu menyahut… hmm semua baju raya anak-anak aku beli. Ketika itu, suami dia tengah duduk makan,” cerita individu yang dikenali sebagai Azzaly menerusi satu video di TikTok.
Bukan sekadar itu, rakan wanitanya kemudian terus mendedahkan satu persatu mengenai perihal suaminya yang ketika itu sedang menjamu juadah raya.
“Lepas tu, dia kata… semua kelengkapan rumah, barang dapur, baju anak pun aku beli.
“Masa tu suami dia dah nampak lain macam. Suami dia yang tengah makan ketupat, hempas pinggan sampai pecah.
“Saya dan mak terkejut. Bini dia (rakan) pula lempar pinggan kat dia,” ujarnya mengimbas kembali insiden yang tidak disangka-sangka itu.
Bercerita lanjut, kata Azzaly, suami rakannya itu berang kerana dimalukan isterinya sendiri sebelum bertindak keluar dari rumah.
Tambahnya, rakannya itu kemudian berkali-kali meminta maaf di atas insiden yang berlaku.
“Saya kata… tak apalah hang pergi balik, sampai nak merosakkan pinggan-pinggan kat rumah aku. Hang nak bagi emosi mak aku terganggu? Lebih baik hang balik. Suami dia dah start (enjin) kereta,” jelasnya.
Tambah Azzaly dia tidak menyangka pujian tentang baju yang dipakai anak lelaki kepada rakannya itu mengundang masalah.
“Budak tu pakai baju cantik, saya tegur yang itu je. Saya tak tahu dengan teguran tu, bini dia boleh provoke benda yang bukan-bukan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azzaly turut menitipkan pesanan mengenai adab ketika berkunjung ke rumah orang dan melakukan aktiviti ziarah.
Tambahnya, suami atau isteri seharusnya menjaga aib pasangan masing-masing dan bukan mendedahkannya kepada orang luar, apatah lagi ia berlaku di bulan Syawal yang mulia.
“Kalau emosi tak stabil, lebih baik duduk kat rumah je. Jangan pergi mana-mana. Isteri atau suami, kalau ada aib pasangan, tolong simpan. Tak payah buka aib mereka.
“Hangpa nak datang tengok mak aku, hangpa mesej elok-elok, aku terima hangpa sebagai tetamu. Tapi tiba-tiba hangpa suami isteri nak bergaduh, pecah habis pinggan aku,” katanya dengan tegas.