“Engkaulah bidadariku di dunia ini” – Suami Heliza Helmi
“Engkaulah bidadariku di dunia ini” – Suami Heliza Helmi
Usahawan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman menganggap kehadiran penyanyi Datin Seri Heliza Helmi sebagai isteri adalah tanda kasih Allah kepadanya.
Mahadi, 40, turut bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan Heliza atau Nur Heliza Helmi, 38, dan menyifatkan kehadiran penyanyi berkenaan adalah sebagai bidadari dunia untuknya.
“Alhamdulillah, hari ini genap tiga tahun kita melayari bahtera perkahwinan bersama.
“Setiap detik bersamamu adalah nikmat yang tidak pernah henti aku syukuri kepada Allah. Kehadiranmu dalam hidupku adalah tanda kasih sayang Allah yang terbesar buatku.
“Engkaulah bidadariku di dunia ini, penyejuk mata dan pelengkap separuh agamaku. Aku berdoa agar cinta kita sentiasa diberkati, diredai dan dipimpin oleh Allah menuju syurgaNya,” katanya.
Mahadi berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Rabu.
Dalam pada itu, Mahadi menitipkan doa agar perkahwinan yang dibina itu dapat menguatkan lagi cinta mereka dan kekal hingga ke akhir hayat.
“Semoga Allah terus menguatkan cinta kita, mengurniakan ketenangan dalam rumah tangga kita dan menjadikan kita pasangan yang saling menguatkan di jalanNya.
“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ketiga, aku mencintaimu kerana Allah dan semoga perjalanan kita ini kekal hingga ke akhir hayat dengan limpahan rahmat dan kasih sayangNya,” ujarnya.
Sebelum ini, hubungan Heliza dan Mahadi didakwa berdepan masalah apabila penyanyi lagu Zalzil Zalzalah itu dilihat tidak lagi berkongsi foto bersama suami di media sosial.
Heliza bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan memberitahu hubungannya dengan suami masih berada dalam keadaan baik.
Untuk rekod, Mahadi dan Heliza mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2022.