Isteri buat rambut di salon, suami sempat ‘check in’ di hotel sebelah

Isteri buat rambut di salon, suami sempat ‘check in’ di hotel sebelah
Suami yang dilihat sentiasa mesra dengan ahli keluarga malah sering ‘berkepit’ dengan isteri serta anak-anak masih tidak boleh dijamin kesetiaannya.
Seorang pengguna Thread membongkar satu kisah melibatkan seorang suami dengan gelaran Datuk yang didakwa begitu licik menipu isteri dalam usaha menutup kecurangannya.
Dia mendakwa dari segi luaran lelaki tersebut nampak begitu sayangkan keluarganya malah sering ditemani isteri dalam kebanyakan urusan harian.
“Korang percaya tak kalau aku kata suami yang bawa isterinya ke hulu ke hilir sehari suntuk pun masih ada yang curang.
“Bukan curang masa tak keluar berdua, masa wife ikut pun dia sempat check-in. Wife kat tingkat 9 salon Pavilion buat rambut, dia check in tingkat atas atau di hotel seberang,” katanya.
Tambahnya lagi, disebabkan si isteri sentiasa setia menemani suami, sukar untuk sesiapa pun meyakinkan wanita itu bahawa dirinya telah ditipu hidup-hidup.
Lazimnya, wanita yang dicurangi seperti ini meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap suami yang pandai ‘berlakon’ membawa watak setia disebabkan tidak mahu rahsianya terbongkar.
“Wife ikut ke mana-mana bila husband kata nak pergi meeting pun dia ikut, pukul 2-3 pagi pun wife ikut dan tunggu dalam kereta tapi suami kat atas dengan perempuan lain.
“Jadi, isteri yang macam ni susah kita nak yakinkan bahawa laki dia curang, kepercayaannya 100 peratus,” katanya.
Posting berkenaan meraih perhatian netizen yang sama sekali tidak menafikan situasi seperti itu sememangnya wujud.
Ramai tampil berkongsi taktik-taktik licik golongan suami yang sedaya upaya mencari ruang dan peluang semata-mata mahu meluangkan masa bersama perempuan lain.
“Suami kawan saya siap sorok perempuan simpanan satu kondo dengan isteri dia. Isteri duduk rumah atas, skandal dekat rumah bawah. Bertahun lamanya, tak pernah sekali pun kantoi. Lepas cerai baru dapat tahu daripada kawan bekas suami.
“Pergi dobi layan diri. Dalam tempoh dua jam pun sempat ‘main’ dengan perempuan lain. Lepas keringkan baju, boleh pula sambung balik.
“Keluar pukul 8 malam nak pergi solat tarawih, balik 10.30 malam macam buat 20 rakaat, rupanya ada ‘agenda’ lain. Yang tak tahan siap pakai kopiah dengan kain pelikat lagi tu,” demikian antara perkongsian netizen.
Dalam pada itu ada juga wanita yang mengaku pernah berdepan pengalaman sama tetapi akhirnya kecurangan suami terbongkar jua.
“Saya pernah jadi isteri macam tu, akhirnya Allah tunjukkan siapa suami saya yang sebenar-benarnya. Dia sendiri yang hancurkan diri dia, semestinya acah teraniaya dan sebagainya.
“Keluarga penuh dengan orang-orang narsistik. Saya pernah jadi isteri bodoh yang percayakan suami dan itulah kelemahan saya selama 25 tahun,” katanya.
Susulan perkongsian ini, ramai juga menasihati kaum wanita supaya tidak meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada suami walaupun mereka nampak baik dan tiada tanda-tanda curang.
Malah, ‘pakej’ isteri idaman seperti cantik, rajin serta mengutamakan keluarga juga dikatakan tidak akan cukup di mata lelaki apabila nafsu mengatasi segalanya.
“Lelaki kalau nak curang memang 1001 cara ikhtiar diaorang buat, jadi janganlah percayakan husband 100 peratus walaupun dia ‘family man’ ke ‘husband terpaling provider’ ke.
“Walau dapat yang sehabis baik pun, bukan suruh bersangka buruk cuma tak perlu nak terpaling percaya suami. Nama pun manusia, tetap ada khilafnya.
“Janganlah terlalu show off sangat kebahagiaan, simpan sikit. Sebab kesian bila wife tunjuk laki sayang gila kat dia di belakang laki curang,” antara nasihat warganet.
Dalam pada itu, Islam menggariskan panduan taaruf (berkenalan) bagi mengenal pasti karakter sebenar seseorang sebelum dijadikan pasangan hidup, bukan sekadar mengetahui latar belakang ekonomi atau minat semata-mata, bahkan nilai akhlak, kesetiaan serta batas pergaulan dengan bukan mahram turut menjadi ukuran.
Suatu saat, manusia akan diuji dengan apa yang dia sayang, sementara semuanya hanyalah pinjaman sementara dari-Nya.
Sumber: mStar