Suami angau dengan perempuan lain, ibu mentua fitnah menantu main bomoh
Suami angau dengan perempuan lain, ibu mentua fitnah menantu main bomoh
Tidak ada pasangan suami isteri mahu melihat ‘masjid’ yang dibina hancur begitu sahaja.
Namun, seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila menyedari rumah tangganya goyah akibat kecurangan suami dan campur tangan mentua.
Menurut pengadu, suaminya kini sedang menjalinkan hubungan dengan wanita lain yang berstatus isteri orang.
“Suami saya suka perempuan lain, iaitu isteri orang. Dalam masa yang sama, ibu mentua saya mendesak dia untuk menceraikan saya.
“Mentua fitnah saya telah menyihir dia,” katanya dalam satu hantaran yang dibuat di grup Facebook Tanya Peguam.
Tambahnya lagi, lelaki itu juga telah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa dan suami.
Keadaan ini membuatkan dia berasa tertekan kerana perlu menguruskan segala keperluan anak-anak sendirian.
Malah, wanita ini turut bimbang memikirkan masa depan anak-anaknya jika suami terus mengabaikan tanggungjawab.
“Sudah empat hari dia tidak pulang ke rumah. Dia langsung tidak bertanya khabar tentang anak-anak apatah lagi menyediakan keperluan mereka.
“Selepas pulang dari tempat kerja, dia terus pergi ke rumah ibunya dan bermalam di sana,” ujarnya yang kini hanya tinggal bersama dua anak kecil, masing-masing berusia 10 bulan dan dua tahun.
Enggan membiarkan nasib diri dan anak-anak berlarutan sedemikian, dia berhasrat untuk berpisah dengan suami.
Meskipun begitu, wanita ini menyuarakan kebimbangan mengenai hak penjagaan anak-anak apabila proses penceraian bermula.
“Saya ingin tahu, adakah saya berhak mendapat hak penjagaan penuh anak-anak saya? Sejak dia keluar rumah, dia tidak pernah bertanya langsung tentang makan minum anak-anak.
“Saya juga mempunyai bukti (suami mengabaikan keluarga),” katanya lagi.
Dakwa wanita itu lagi, suaminya juga mengajaknya bertemu di mahkamah pada Ahad ini bagi memulakan urusan penceraian mereka.
Susulan hantaran dibuat, rata-rata warga maya memberikan cadangan supaya dia mendapatkan nasihat guaman bagi memastikan haknya sebagai ibu dapat dipertahankan.
“Dekat pejabat agama, ada unit runding cara secara percuma. Hubungi pejabat agama untuk minta buat temu janji. Ada pejabat agama boleh datang dan daftar terus. Pergi je mana-mana pejabat agama terdekat. Dekat sana ada pegawai akan bantu.
“Anak bawah 12 tahun memang akan di bawah jagaan sis. Kalau pergi pejabat agama minta fasakh dan jangan lupa minta sekali harta sepencarian. Kalau ada duit… nak cepat kena lantik peguam. Lagi senang tak payah turun naik pejabat agama banyak kali,” komen beberapa netizen.