STR Fasa 2 dibayar mulai 24 Mac, bantuan sehingga RM650

STR Fasa 2 dibayar mulai 24 Mac, bantuan sehingga RM650

 

STR Fasa 2 dibayar mulai 24 Mac, bantuan sehingga RM650

Kerajaan akan mula menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 mulai Isnin ini dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi STR Fasa 2, hampir 9 juta penerima yang terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa negara ini bakal mendapat bantuan sehingga RM650.

“Kerajaan MADANI kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Peningkatan peruntukan STR dan SARA pada tahun 2025 sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan hari ini.

Penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Pendekatan terkini kerajaan adalah membuka pendaftaran STR 2025 sepanjang tahun bagi memberi ruang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

May be an image of text

May be an illustration of floor plan, blueprint and text