Starbucks tak laku, tutup sementara hampir 50 cawangan di Malaysia
Starbucks tak laku, tutup sementara hampir 50 cawangan di Malaysia.
Jumlah cawangan Starbucks yang ditutup sementara oleh operator rangkaian kedai kopi terkemuka itu, Berjaya Food Bhd meningkat kepada hampir 50 pada suku pertama tahun kewangan 2025 berbanding 25 pada suku keempat tahun kewangan 2024.
Penutupan sementara itu adalah disebabkan oleh pemulihan jualan yang lemah di tengah-tengah gerakan boikot berterusan.
CIMB Securities dalam satu nota penyelidikan berkata, penutupan sementara itu menyebabkan pendapatan Berjaya Food pada suku pertama tahun kewangan 2025 merosot 55.4 peratus kepada RM124 juta.
Ia berkata, perang promosi harga juga terus memberikan tekanan kepada margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), yang susut kepada 8.1 peratus pada suku dikaji.
“Pihak pengurusan menjelaskan bahawa penutupan cawangan seterusnya (sama ada kekal atau sementara), akan tertakluk kepada penilaian semula secara berkala,” katanya.
Jumlah cawangan Starbucks yang dikendalikan oleh Berjaya Food tidak berubah berbanding suku kewangan sebelumnya, manakala jumlah penutupan bersih Kenny Rogers Roasters adalah enam cawangan, menjadikan keseluruhan 408 kedai Starbucks dan 54 restoran Kenny Rogers Roasters setakat akhir suku pertama tahun kewangan 2025.
Berjaya Food mencatatkan kerugian suku keempat berturut-turut apabila gerakan boikot anti Israel terus menjejaskan kumpulan.
Ia mencatatkan kerugian bersih RM33.68 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2024, berbanding keuntungan bersih RM19.03 juta setahun sebelumnya, yang berpunca oleh impak berpanjangan daripada sentimen berterusan berhubung konflik Asia Barat.
Pendapatan bagi suku itu merosot lebih separuh kepada RM124.19 juta daripada RM278.53 juta, demikian menurut syarikat itu kepada Bursa Malaysia.
Tiada dividen diisytiharkan untuk suku dalam tinjauan.
Mengulas lanjut, CIMB Securities berkata Berjaya Food dijangka merekodkan pendapatan lebih kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2025, disokong oleh musim perayaan akhir tahun.
Katanya, walaupun Berjaya Food mungkin terus melaporkan kerugian pada suku berkenaan, kerugian dijangka mengecil secara beransur-ansur hasil daripada jualan dan operasi lebih baik.
“Kami percaya sebarang perubahan kepada operasi Starbucks di Malaysia dan Brunei, susulan pelantikan Brian Niccol sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks Corp pada September lalu, akan berkuat kuasa paling awal pada separuh kedua tahun kewangan 2025, dengan sebarang hasil yang bermakna akan mengambil masa untuk direalisasikan,” katanya menurut BH Online.
Selain rangkaian kopi Starbucks di Malaysia dan Brunei, Berjaya Food juga mengendalikan rangkaian Kenny Rogers Roasters (KRR) di Malaysia, serta jenama kafe bakeri Paris Baguette di negara ini di Filipina.