Dibayar hingga ratusan ribu ringgit, SPRM siasat selebriti jadi duta syarikat perunding kewangan
Dibayar hingga ratusan ribu ringgit, SPRM siasat selebriti jadi duta syarikat perunding kewangan
Beberapa selebriti termasuk artis lagenda dan ikon inspirasi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana pembabitan dengan sebuah syarikat perunding kewangan yang bersekongkol dengan pegawai bank tempatan bagi memperdayakan ramai peminjam bank, termasuk ribuan penjawat awam melalui pinjaman bertindih.
SPRM mendapati artis terbabit dikaitkan dengan kegiatan syarikat perunding kewangan berkenaan berikutan penahanan 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), baru-baru ini.
Melalui Ops Sky juga, SPRM mendedahkan sejumlah RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket yang kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman yang diluluskan bank-bank pada satu masa.
BH difahamkan, selebriti terbabit dibayar hingga ratusan ribu ringgit bagi menggunakan wajah mereka meyakinkan orang awam menggunakan perkhidmatan mereka.
Malah difahamkan, ada antara mereka dibayar mencecah hingga RM400,000 hanya untuk menjadi ‘duta rasmi’ kepada perkhidmatan syarikat berkenaan.
Siasatan juga mendapati syarikat terbabit turut aktif menaja program hiburan membabitkan selebriti dalam usaha menarik ‘pelanggan’ mereka.
SPRM juga mendapati sindiket turut melabur sejumlah wang yang banyak untuk penciptaan lagu membabitkan penyanyi tersohor negara.
Dipanggil beri keterangan
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi BH, mengesahkan perkara berkenaan dan berkata siasatan mengenai pembabitan selebriti menjadi antara aspek dalam siasatan Ops Sky.
Katanya, selebriti terbabit yang menerima bayaran lumayan akan turut dipanggil memberi keterangan dalam siasatan Ops Sky.
Azam juga mengesahkan siasatan turut dapati syarikat kewangan berkenaan melantik beberapa selebriti untuk dijadikan sebagai ‘duta’ kempen dengan bayaran tertentu yang mencecah ratusan ribu ringgit.
“Siasatan turut menjuruskan pembabitan selebriti-selebriti ini kerana mereka dibayar dengan bayaran yang lumayan,” katanya kepada BH tetapi tidak mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
SPRM sebelum ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan yang bersekongkol dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi itu, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.
Sindiket ambil 35 peratus daripada pinjaman diluluskan
Malah mangsa tidak memperoleh semua pinjaman, sebaliknya perlu membayar peratusan tertentu kepada syarikat iaitu sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman yang diluluskan.
Dalam operasi itu, SPRM susah menyita sembilan kenderaan pelbagai jenama terdiri Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, BMW, Toyota Alphard, Mazda dan Honda, serta wang tunai lebih RM300,000 selain mata wang Hong Kong (HKD)95,000 (RM54,985), 17 jam tangan mewah dianggarkan berjumlah lebih RM11.1 juta; lima unit beg tangan berjenama dianggarkan bernilai lebih RM430,000 dan lima set barang kemas dianggarkan berjumlah lebih RM50,000.