Kajian dapati lelaki lebih berisiko mati akibat ‘Sindrom Patah Hati’

Kajian dapati lelaki lebih berisiko mati akibat ‘Sindrom Patah Hati’
Kajian terkini mendapati lelaki mempunyai risiko mati dua kali ganda lebih tinggi akibat takotsubo cardiomyopathy atau dikenali sebagai ‘sindrom patah hati’ berbanding wanita yang mengalami sindrom sama, lapor portal NDTV.
Kajian diterbitkan dalam Journal of the American Heart Association menunjukkan data hampir 200,000 pesakit di hospital Amerika Syarikat (AS) antara 2016 hingga 2020 menunjukkan 83 peratus kes sindrom itu membabitkan wanita, tetapi kadar kematian dalam kalangan lelaki jauh lebih tinggi iaitu 11.2 peratus berbanding 5.5 peratus bagi wanita.
Sindrom patah hati adalah keadaan kejutan jantung sementara yang biasanya dicetuskan oleh tekanan emosi atau fizikal yang kuat.
Ia menyebabkan simptom yang menyerupai serangan jantung seperti sakit dada dan sesak nafas.
Walaupun banyak kes boleh pulih, penyakit ini boleh membawa komplikasi serius termasuk kegagalan jantung, kejutan kardiogenik dan strok.
Pakar percaya kadar kematian lebih tinggi dalam kalangan lelaki mungkin disebabkan perbezaan tindak balas terhadap tekanan dan tahap sokongan sosial yang rendah, sekali gus menjejaskan proses pemulihan.
Kajian itu menekankan pentingnya kesedaran lebih tinggi serta pendekatan rawatan khusus untuk mengatasi jurang perbezaan jantina ini.
“Jumlah kematian akibat sindrom ini agak tinggi dan tidak menunjukkan penurunan dalam tempoh lima tahun kajian, malah komplikasi dalam hospital juga meningkat,” kata pengarang kajian, Dr M Reza Movahed, pakar kardiologi intervensi dan profesor perubatan di University of Arizona, Tucson.
“Situasi ini amat membimbangkan dan menuntut kajian lanjut untuk memperbaiki rawatan dan mencari pendekatan terapi baru bagi penyakit ini,” tambah beliau.
Antara dapatan kajian ialah kadar kematian keseluruhan adalah tinggi pada 6.5 peratus tanpa penurunan sepanjang tempoh kajian.
Lelaki mencatat kadar kematian dua kali ganda lebih tinggi iaitu 11.2 peratus berbanding wanita (5.5 peratus).
Komplikasi utama termasuk kegagalan jantung (35.9 peratus), atrial fibrillation (20.7 peratus), kejutan kardiogenik (6.6 peratus), strok (5.3 peratus) dan kegagalan jantung mengejut (3.4 peratus).
Pesakit berusia lebih 61 tahun merekodkan kadar kejadian tertinggi, namun golongan dewasa 46 hingga 60 tahun pula mencatatkan kejadian 2.6 hingga 3.25 kali lebih tinggi berbanding kelompok 31 hingga 45 tahun.
Dewasa berkulit putih menunjukkan kadar tertinggi bagi sindrom ini (0.16 peratus), diikuti orang asli Amerika (0.13 peratus) dan kaum kulit hitam (0.07 peratus).
Faktor sosioekonomi seperti pendapatan isi rumah, saiz hospital dan status insurans kesihatan juga menunjukkan perbezaan ketara.
Kajian ini membuka mata tentang pentingnya pengurusan yang lebih berkesan dan pendekatan yang berbeza mengikut jantina bagi penyakit yang masih kurang difahami ini.